Penambahbaikan pengangkutan awam antara 3 agenda utama MOT

Iklan
Anthony mengimbas kad perakam waktu di pejabatnya di bangunan Kementerian Pengangkutan pada jam 8.33 pagi sebagai tanda memulakan tugas secara rasmi. - Foto Bernama

PUTRAJAYA – Penambahbaikan pengangkutan awam, digitalisasi perkhidmatan dan keselamatan jalan raya antara agenda utama yang akan diberikan tumpuan Kementerian Pengangkutan.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau berharap penambahan tren dapat dibuat bagi mengurangkan kesesakan pengangkutan awam.

Iklan
Iklan

Beliau akan bertemu dengan pihak Prasarana Berhad bagi mengetahui lebih lanjut perancangan syarikat itu tentang penambahbaikan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) demi keselesaan pengguna.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tinjauan yang dibuat sendiri ketika menggunakan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya, pada petang Isnin.

Iklan

"Semalam saya sudah pergi frekuensi tren setiap lima minit tetapi kadangkala ada tergendala malah jam 6 petang ada satu stesen tergendala kerana ada tren terpaksa dibawa ke stesen secara manual.

"Saya berada di stesen LRT KLCC, ada satu tren berhenti di platform hampir lima minit kerana tidak boleh bergerak sebab depan masih sangkut

Iklan

"Memang mudah untuk mencadangkan kekerapan tren tetapi mesti dibantu dengan sokongan teknikal yang baik," ujarnya.

Terdahulu, Anthony mengimbas kad perakam waktu di pejabatnya di bangunan Kementerian Pengangkutan pada jam 8.33 pagi sebagai tanda memulakan tugas secara rasmi.

Mengenai digitalisasi dalam perkhidmatan, Anthony berharap perkhidmatan yang ditawarkan kepada orang ramai dapat dibuat secara digital sekali gus melancarkan operasi agensinya.

"Digitalisasi telah kita mulakan masa saya dalam kementerian sebelum ini antaranya sistem pendaftaran nombor plat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) eBid...ada banyak sektor yang perlu kita laksanakan pendigitalan baik di JPJ, Jabatan Laut dan pengangkutan awam, saya rasa kita mesti berusaha ke arah ini (digitalisasi).

"Visi saya mahu lihat dari sekarang keseluruhan perkhidmatan yang kita bagi kepada rakyat boleh ditawarkan secara digital tanpa ada kontak fizikal selari dengan norma baharu pandemik Covid-19," katanya.

Beliau dalam pada itu turut berkata, projek-projek yang sedang berjalan termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan diteruskan.

"Saya rasa projek-projek yang sedang berjalan itu kalau yang telah mula saya rasa tidak ada masalah untuk kita teruskan, itu secara amnya. Kami belum meneliti butirannya lagi tetapi saya tahu untuk Kementerian Pengangkutan satu projek besar sudah tentu diteruskan seperti ECRL," katanya.