Muhyiddin serah kepada polis jalankan siasatan

Iklan
Tan Sri Muhyiddin Yassin - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu penyokong PH bertindak memeriksa kenderaan polis pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Katanya, tindakan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

Iklan
Iklan

"Laporan polis telah dibuat mengenai kejadian ini. Saya ingin meminta semua pihak supaya patuh kepada undang-undang.

"Saya juga ingin mengingatkan penyokong parti politik dan orang ramai agar mematuhi undang-undang setiap masa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Iklan

Semalam, tular rakaman video di media sosial menunjukkan beberapa petugas sebuah parti politik memeriksa kenderaan polis pada hari pengundian PRK DUN Rantau.

Video berdurasi 44 saat itu memaparkan tindakan petugas-petugas berkenaan menyoal anggota polis selain meminta membuka kabin bagasi kenderaan untuk diperiksa.

Iklan

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polsi Daerah (IPD) Seremban tengah hari tadi melahirkan rasa kecewa dengan perbuatan tersebut seolah-olah pihak berkenaan lebih berkuasa daripada polis.

Jelasnya, perbuatan itu adalah yang pertama kali berlaku dalam negara di mana orang awam bertindak memeriksa kenderaan polis.

Pada sebelah petang hari ini pula, Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Badoor menerusi satu kenyataan berkata, siasatan berhubung kes penyokong sebuah parti politik yang bertindak menahan dan memeriksa kereta peronda polis di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di Rantau, Rembau semalam akan dilakukan mengikut Seksyen 186 serta Seksyen 341 Kanun Keseksaan.