PUTRAJAYA - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menafikan bahawa rundingan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) telah bermula sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Rafizi menegaskan, adalah mustahil untuk mana-mana parti memulakan sebarang rundingan sebelum PRU15 kerana tiada pihak boleh menjangkakan dengan tepat keputusan pilihan raya.
Beliau berkata, kenyataan dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu berkemungkinan difahami orang ramai di luar daripada konteks yang ingin disampaikan, sambil memberitahu persoalan mengenai isu tersebut juga telah ditanyakan ketika bertemu Saifuddin pada Isnin.
"Konteks beliau ialah memang pendekatan hubungan kita adalah tidak mencari musuh politik dan menjalin kerjasama, hormat menghormati hatta dengan UMNO sekalipun.
"Perkara itu memang telah diamalkan oleh PKR dan PH sejak dari awal.
"Itu yang membolehkan dan memudahkan proses rundingan sehingga Kerajaan Perpaduan dapat ditubuhkan dalam masa cepat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas merasmikan Kick-Off Conference Kajian Separuh Penggal RMK12 di sini pada Selasa.
Pada Sabtu, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR mendedahkan bahawa usaha mewujudkan kerajaan dari parti yang berbeza ideologi bukan bermula hanya selepas PRU15 baru-baru ini.
Katanya, kesemua parti berkaitan sudah lama membaca perubahan landskap politik negara yang tidak memungkinkan mana-mana parti atau gabungan dapat membentuk kerajaan sendiri.
Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, hubungan peribadi sekian lama beliau dengan pimpinan BN seperti Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran juga memudahkan untuk rundingan dijalankan.
Jelas beliau, perkara itu juga dibantu dengan sikap terbuka pemimpin dari Sabah dan Sarawak yang sama-sama mendukung ketentuan itu.
Rafizi berkata, pendekatan untuk menjalinkan hubungan secara profesional bersama parti lain dengan berteraskan kepentingan awam itu sememangnya membantu dalam memudahkan proses pembentukan kerajaan selepas PRU15.
"...hubungan peribadi individu seperti Saifuddin dengan sesetengah pemimpin UMNO juga mempermudahkan keseluruhan proses (membentuk kerajaan) dan saya rasa itu tiada masalah.
"Tapi semua perkara ini tidak langsung dibincangkan sebelum (PRU15). Ia sebenarnya tidak betul,” ujarnya.