ISKANDAR PUTERI – Jabatan Penerangan Negeri (Japen) Johor dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) sedang merangka modul bersesuaian bagi memberikan pendedahan mengenai kepentingan dan tanggungjawab mengundi kepada pelajar sejajar dengan penurunan had umur pengundi kepada 18 tahun.
Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi, Norlizah Noh berkata, pihaknya juga akan menjalinkan kerjasama pintar dengan Institut Dato’ Onn (IDO) di bawah portfolio Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri.
Menurutnya, penglibatan IDO dilihat penting dalam penghasilan modul berdasarkan kepada pengalaman yang dimiliki agensi berkenaan.
"Buat masa ini, para pelajar di sekolah menengah didedahkan dengan Amalan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan melalui Kelab Malaysiaku di 73 sekolah di seluruh negeri Johor.
"Antara strategi yang dirangka dan disusun bagi memudahkan pelajar memahami perjalanan pemilihan kepimpinan di negara ini adalah melalui proses pilihan raya dan setakat ini kerjasama daripada Akademi Pilihan Raya (APR), para pelajar didedahkan dengan proses bagaimana sesuatu pilihan raya itu dijalankan selain memberikan penekanan kepada betapa pentingnya mejadi seorang pengundi yang bertanggungjawab dalam memilih kepimpinan bagi menerajui negara pada masa hadapan.
"Selain itu bagi 2022, Japen Johor telah melaksanakan sebanyak 20 Program Cambah Minda/Taklimat Isu Semasa berkaitan Undi 18 dan tanggungjawab warganegara di Politeknik, Kolej Komuniti dan Kolej Tingkatan Enam di seluruh negeri Johor yang secara keseluruhannya bertujuan memberikan pendedahan dan maklumat kepada pelajar terutamanya yang berusia 18 tahun ke atas mengenai had umur mengundi, peranan dan tanggungjawab warganegara dalam pembentukan kerajaan serta sistem demokrasi di Malaysia,” katanya.
Norlizah berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Hahasrin Hashim (BN-Panti), di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar pada Selasa.
Sementara itu menurut Norlizah, selain pendedahan berbentuk program, bahan-bahan sokongan yang menekankan mengenai kenegaraan juga telah disediakan dan diguna pakai di sekolah-sekolah menengah dan juga di Tingkatan Enam berbentuk modul pembelajaran seperti Buku Modul Pengajian Am dan Modul Sejarah.
Katanya, kandungan bahan-bahan akademik itu mendedahkan pelajar kepada pengetahuan politik berkaitan struktur pemerintahan negara, demokrasi berparlimen dan negara bangsa.
"Antara tajuk-tajuknya berkaitan Malaysia Kekal Berdaulat, Pembentukan Negara Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan Demokrasi Pilihan Raya... malah, kandungan buku teks Sejarah Tingkatan Lima pula dalam bab tiga menekankan kepada pelajar berkaitan tajuk peranan Agong dan sistem pemerintahan, Kerajaan Persekutuan, senarai Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri manakala bab lapan pula mendedahkan tajuk pilihan raya dan kelayakan mengundi.
"Bagi menyuburkan kemahiran dan pengetahuan pelajar, Kementerian Pendidikan Malaysia juga mewujudkan Kelab Rukun Negara dan Persatuan Sejarah dan Kewarganegaraan yang bertujuan menyuburkan sifat sayang kepada negara, jati diri dan sifat patriotisme.
"Selain itu, pelajar juga diterapkan kesedaran tentang warisan sendiri, tanggungjawab terhadap diri sendiri, orang lain, komuniti, masyarakat, hormat terhadap budaya dan masyarakat lain di Malaysia,” katanya.