KDN fokus aspek keselamatan bantu pacu ekonomi negara

Iklan
Saifuddin (kiri) pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya pada Selasa.

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama semua komponen di bawahnya menekankan aspek ketenteraman negara bagi menjamin kestabilan politik dalam usaha membantu kerajaan memacu ekonomi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, aspek keselamatan merupakan prasyarat bagi mana-mana negara dalam melaksanakan apa sahaja visi dan polisi kerajaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam iklim politik ketika ini, kenyataan-kenyataan berbaur perkauman wajar dielakkan oleh semua pihak yang boleh mengganggu usaha kerajaan mendepani isu seperti kos sara hidup serta ekonomi rakyat.

"Saya sangat yakin bahawa pasukan saya sangat berdedikasi tinggi dan aspek kerja berpasukan sangat terserlah untuk mendukung apa-apa aspirasi baharu yang akan diperkenal.

Iklan

"Kita tumpu untuk memakmurkan ekonomi, fokus isu rakyat, kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan serta peluang pekerjaan," katanya pada sidang media selepas selesai memberi taklimat di Kementerian Dalam Negeri di sini pada Selasa.

Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Iklan

Dalam pada itu, beliau menzahirkan keyakinan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan semua agensi keselamatan dalam menguatkuasakan undang-undang sedia ada.

Katanya, tindakan tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menggugat ketenteraman dan keselamatan negara.

"Dengan visi dan misi yang jelas, saya ingin mengesyorkan cogan kata 'Keselamatan Tanggungjawab Semua' kepada setiap anggota masyarakat.

"Pertubuhan politik, badan bukan kerajaan (NGO), dan sesiapa sahaja yang namanya rakyat Malaysia harus mendukung cita-cita ini," ujar beliau.