SHAH ALAM - Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Selangor muncul juara Piala DYTM Raja Muda Selangor 2022 selepas menewaskan SK Puchong 2-1 di Padang Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), pada Selasa.
Penyerang SK Seri Selangor, Dayyan Nazrin muncul wira pasukan apabila meledak dua gol pada minit ke-10 dan 20 untuk mengesahkan kejuaraan.
Gol saguhati SK Puchong pula dijaringkan oleh Muhammad Adif Iman pada minit ke-16.
Jurulatih SK Seri Selangor, Norzaidi Hamid memuji komitmen dan kesungguhan para pemainnya walaupun menerima tentangan sengit dipamerkan lawan.
"Alhamdullilah hasil kerja keras pemain memastikan pasukan beroleh kemenangan yang cukup manis ini.
"Ini juga kejuaraan kedua piala ini dengan kali terakhir kami menang pada 2018," katanya kepada Sinar Harian.
Piala DYTM kejuaraan Bawah 12 tahun berjaya menarik penyertaan sekolah-sekolah rendah seluruh Selangor.
SK Seri Selangor menerima hadiah RM4,000, trofi dan medal manakala SK Puchong selaku naib juara menerima hadiah RM3,000 dan medal.
Tempat ketiga menjadi milik SK Serdang dan menerima RM2,000 dan medal manakala tempat keempat diraih SK Subang Bestari menerima RM1,000 serta medal.
Kejohanan mendapat tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) manakala Sinar Harian sebagai media rasmi.