SHAH ALAM - Projek kerjasama antara syarikat pengeluar minyak dan gas Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi kenyataan atas peranan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, kerjasama itu mencipta sejarah baharu apabila Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd menandatangani perjanjian bersama Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) untuk meneroka dan menilai Blok 1 Luar Pesisir Bukan Konvensional meliputi kawasan konsesi seluas 2,000 kilometer persegi di wilayah Al Dhafra.
"Projek ini telah dirintis oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah. Seri Paduka Baginda telah memulakan perbincangan awal dengan Presiden UAE, Yang Mulia Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.
"Alhamdulillah kerjasama ini telah dimuktamadkan. Menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong kerana memainkan peranan penting dalam projek bersejarah ini.
"Tanpa hubungan yang erat antara Seri Paduka Baginda dan Presiden UAE, projek ini tidak akan menjadi kenyataan," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.
Jelas Ismail Sabri, menerusi lawatan rasmi beliau ke Abu Dhabi September lalu, ADNOC telah memberikan taklimat mengenai kerjasamanya dengan Petronas untuk meneroka sektor minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui.
"Perkara ini juga telah dibincangkan dengan lebih mendalam ketika pertemuan empat mata di antara saya dan Yang Mulia Sheikh Mohamed. Seri Paduka Baginda bersetuju supaya projek ini dipercepatkan," katanya.
Justeru, katanya, sewaktu pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia, kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan hubungan sedia ada kepada ‘Perkongsian Strategik’.
"Saya memberikan perhatian yang serius untuk memperkukuhkan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pelaburan dan perdagangan, tenaga boleh diperbaharui, sekuriti makanan serta minyak dan gas," katanya.
Katanya lagi, perdagangan antara Malaysia dan UAE telah meningkat sebanyak 90.4 peratus untuk lapan bulan pertama 2022 iaitu AS$6.14 bilion (RM25.60 bilion).
"Semoga hubungan erat di antara Malaysia dan UAE terus diperkukuhkan pada masa depan," katanya.