SHAH ALAM - Pemimpin politik digesa menghentikan persengketaan dan seteru sebaliknya memberi tumpuan untuk membangunkan negara.
Penganalisis Keselamatan dan Politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, tindakan mereka itu tidak memberi manfaat malah disifatkan merunsingkan rakyat.
Justeru, menurutnya, satu gencatan politik perlu dilaksanakan untuk mengetepikan kepentingan parti, ia demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat serta negara.
"Saya rasa apa yang telah berlaku ini bukan satu peralihan atau perubahan dalam negara. Satu peralihan itu perlu didokong dengan perkara-perkara yang lebih positif dan boleh membangunkan negara.
"Ini masa untuk melakukan satu gencatan politik yang sempurna bermaksud satu elemen politik berkepentingan kepartian itu perlu diketepikan demi membangunkan negara. ini kerana kita lihat rakyat sudah lama berkecimpung dalam permasalahan politik bermula PRU14 hingga PRU15," katanya.
Beliau berkata demikian pada program Sinar Live bertajuk Henti Sembang, Pantau Menteri Bekerja di Sinar Karangkraf pada Selasa dikendalikan Fahiz Ariff.
Tambah Noor Nirwandy, kini tiba masanya, rakyat tidak dibelenggu dengan sengketa atau seteru politik yang berterusan.
"Jika ada fakta mengenai sesuatu perkara dikatakan salah maka ia kewajipan pihak bertanggungjawab (untuk cari jalan penyelesaian) namun dari segi perolahan bagaimana untuk menganalisa pemikiran rakyat sekurang-kurangnya kita perlu satu gencatan yang lebih stabil dan menumpukan kepada elemen kepentingan negara.
"Jadi dasar dibangunkan oleh Yang di-Pertuan Agong, tercetus satu ilham atau idea yang saya rasa cukup sempurna di mana mewujudkan Kerajaan Perpaduan, yang dihuni dan diteladani bagi membawa negara kepada perubahan dan dimensi politik yang berbeza.
"Walaupun akan ada perbezaan dalam kalangan pemimpin politik, (tetapi) apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat (menjadi perdana menteri) maka beliau berhak menerajui negara dan membentuk kepimpinan tetapi harus berasaskan apa yang dimahukan Yang mulia di-Pertuan Agong untuk membawa Malaysia berserta elemen persekutuan, rukun negara dan juga dasar keselamatan negara bagi membentuk sebuah negara sempurna," ujarnya.
Pada Isnin, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas menyampaikan ceramah Grand Finale PN sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai mahu Anwar menyiasat isu berkaitan dana itu dengan betul dan mendapatkan data sebenar sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Anwar dalam kenyataan balas pada Selasa mengingatkan Muhyiddin supaya tidak mencabar kerajaan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan di bawah pentadbiran Pengerusi PN itu sebelum ini.
Perdana Menteri menegaskan bahawa berdasarkan maklumat diperolehnya, sememangnya ternyata wujud beberapa proses dan prosedur yang tidak dipatuhi dalam perbelanjaan dana berkenaan yang dibuat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat sebelum ini.
Fokus gerak kerja stabil ekonomi, bukan isu korupsi
Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari menegaskan fokus utama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah gerak kerja untuk menstabilkan politik dan memulihkan ekonomi.
Justeru menurutnya, isu mengenai lantikan individu berkaitan korupsi tidak perlu lagi ditimbulkan, kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menegaskan, beliau tidak akan bertolerasi terhadap kes mahkamah mahupun rasuah.
"Jadi, isu mahkamah dan sebagainya biarlah ia berjalan seperti biasa tapi apa yang lebih penting adalah gerak kerja yang ditunjukkan dan kita harus melihat bahawa Kerajaan Perpaduan itu konsep hala tujunya jelas untuk memulihkan ekonomi.
"Jadi, kepentingan Kerajaan Perpaduan ini dalam ayat Al-Quran ada menyebut"janganlah kamu bercerai berai dan berpegang pada tali Allah, inilah konsep yang cuba dibawa oleh kami," katanya pada program Sinar Live bertajuk Henti Sembang, Pantau Menteri Bekerja di Sinar Karangkraf pada Selasa dikendalikan Fahiz Ariff.
Tambah Taufik, Kerajaan Perpaduan sudah dibentuk maka perkara paling utama perlu dilaksanakan, adalah membawa negara ke arah satu hala tuju yang betul selain menstabilkan politik dan memulihkan ekonomi.
"Lagi satu (perkara penting), kepala (ketua) yang boleh mengepalai dan menjadi nakhoda. Jadi, saya rasa tiada masalah.
"Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan satu contoh tauladan dan kepimpinan yang mantap maka ini akan memberikan kesan gambaran bahawa ia kerajaan yang baik,"katanya.