SEJAK kebelakangan ini sering kedengaran rungutan rakyat Malaysia yang tertekan dengan kenaikan harga barang, sedangkan pendapatan mereka masih tidak berubah menyebabkan kuasa beli semakin menurun.
Jika dahulu, gaji yang diperoleh bolehlah diperuntukkan sedikit untuk reward diri sendiri seperti membeli-belah atau bercuti bersama keluarga, namun kini sudah berubah, terpaksa berkira-kira untuk mengawal perbelanjaan bagi memastikan wang cukup sampai hujung bulan.
Kedengaran juga rungutan masyarakat yang menghadapi kepayahan untuk membuat simpanan dan apabila berlaku kecemasan atau terlebih bajet, terpaksa pula ‘mengorek tabung’ sementara menunggu gaji.
Itulah situasi yang dihadapi hampir kebanyakan daripada kita yang kesannya mulai dirasai ketika tercetusnya pandemik Covid-19 pada tahun 2020 dan berterusan sehingga kini disebabkan kegawatan ekonomi.Bukan hanya mereka yang sudah berkeluarga, malah individu bujang terutama yang tinggal di bandar dengan pendapatan di bawah RM3,000 sebulan juga menanggung beban disebabkan komitmen tinggi.
Dalam memikirkan harga barang semakin naik, kini isu bekalan makanan khususnya telur ayam sukar didapati di pasaran pula menambahkan lagi keresahan. Seperti tiada kesudahan, pengguna terus menjadi mangsa permainan harga dan kawalan daripada pengeluar juga pembekal.
Disebabkan permainan tersebut, harga telur dan makanan yang berasaskan bahan berkenaan turut meningkat secara mendadak.
Bukan lagi bermusim
Mungkin ramai yang masih ingat, beberapa tahun lalu pernah berlaku isu harga sardin tin naik melonjak sehingga menimbulkan keresahan pengguna.
Kalau dahulu sardin adalah makanan rakyat marhaen kerana harganya murah dan boleh dijadikan lauk sekeluarga sementara gaji masuk hujung bulan, kini tidak lagi, statusnya telah berubah kepada makanan ‘orang berada’ dan bukan lagi menu untuk berjimat.
Selepas itu, rakyat Malaysia dibebani pula dengan masalah bekalan ayam dan minyak peket, disusuli isu telur ayam tidak cukup dalam pasaran.
Kita sedia maklum, isu bekalan makanan utama biasanya dihadapi ketika musim perayaan disebabkan permintaan tinggi, tapi seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena apabila ia berlaku di luar musim perayaan.
Nampaknya, ia bukan lagi masalah bermusim tetapi berlarutan dari satu barangan ke barangan lain yang dikhuatiri boleh mengundang kepada krisis makanan. Sampai ada mempersoalkan, benarkah ayam ‘boikot’ tidak mahu bertelur atau stok sengaja disorokkan, atau mungkin pembekal lebih mengutamakan eksport ke luar negara yang dilihat lebih menguntungkan?
Melihat kepada perkara itu, banyak spekulasi ditimbulkan masyarakat. Antaranya, mungkin pengguna panik sehingga membuat pembelian dalam skala besar kerana bimbang stok habis di pasaran. Adakah menguatkuasakan had pembelian bagi setiap pengguna dapat menyelesaikan telur ayam di pasaran? Semua andaian itu berlegar-legar dalam pemikiran rakyat Malaysia, di mana silapnya sehingga berlaku krisis telur ayam.
Namun, persoalan paling besar, selepas telur, apakah akan berlaku seterusnya. Adakah beras, ikan atau gula pula akan berdepan krisis sama.
Oleh kerana itu, kerajaan menerusi kementerian berkaitan perlu mengambil langkah proaktif bagi menyelesaikan isu ini daripada terus menjadi barah sehingga merebak dari satu barang ke barang lain.
Episod Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pun sudah selesai. Kepimpinan baharu sudah dipilih rakyat, jadi cukup-cukuplah berpolitik.
Sekarang masa untuk beri ruang kepada kerajaan dipilih rakyat berusaha menangani kos sara hidup yang semakin mencabar.
Orang ramai bagaimanapun boleh menarik sedikit nafas lega apabila masalah peningkatan kos sara hidup telah pun mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang segera mengadakan mesyuarat bersama jabatan dan agensi kerajaan bagi membincangkan isu berkenaan baru-baru ini.
Perdana Menteri dilaporkan berkata, mesyuarat mengenai kos sara hidup itu perlu diadakan segera berikutan terdapat keperluan mendesak berhubung isu berkenaan.
Semoga dengan usaha Kerajaan Perpaduan ini memberi harapan baharu kepada rakyat Malaysia agar dapat keluar daripada masalah yang membelenggu selama ini.
* Norafiza Jaafar ialah wartawan Sinar Harian Kuala Lumpur Norafiza Jaafar