ALOR SETAR - Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras (PADI Rescue) memohon perhatian kerajaan untuk membantu pesawah dengan mengurangkan kadar pemotongan pemutuan padi yang melebihi 20 peratus.
Timbalan Pengerusinya, Muhamad Rafirdaus Abu Bakar berkata, perkara tersebut pernah disuarakan oleh badan bukan kerajaan (NGO) itu kepada kerajaan pada 2016 untuk membantu pesawah.
Menurutnya, pemotongan terhadap padi mereka antara 22 hingga 24 peratus tidak wajar kerana kualiti beras yang diperolehi pada hari ini semakin berkualiti.
"Jika kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu membantu pesawah, PADI Rescue menyarankan kerajaan untuk mengurangkan kadar pemotongan pemutuan padi yang melebihi 20 peratus.
"Kami harap kadar potongan pemutuan padi ini dapat dibuat sekitar 16 hingga 17 peratus seperti yang dilakukan hampir 18 tahun lalu.
"Jika kadar potongan dikekalkan lebih 20 peratus, petani hanya memperolehi hasil kira-kira 800 kilogram (kg) sahaja daripada setiap 1,000 kg," katanya semasa dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Sementara itu, mengulas mengenai keputusan kerajaan yang mahu menghentikan monopoli beras oleh Padiberas Nasional Bhd (BERNAS), Muhamad Rafirdaus menyambut baik perkara tersebut.
Jelasnya, kerajaan perlu membuka ruang kepada banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk bersaing di antara satu sama bagi menawarkan harga yang terbaik untuk rakyat.
"Felcra dan Felda muncul antara syarikat dilihat mampu bersaing memberi tawaran dan harga beras yang terbaik jika diberikan ruang dalam industri beras tanah air.
"Ini antara contoh GLC yang berjaya dan mungkin banyak lagi syarikat yang bersedia jika diberikan peluang seperti di Singapura apabila enam syarikat yang diberikan hak untuk mengimport beras. Kita sepatutnya dah lama lakukan perkara ini," ujar beliau.