Terima secara terbuka Kerajaan Perpaduan

Iklan
Anwar ketka mempengerusikan mesyuarat khas kabinet Kerajaan Perpaduan di Perdana Putra, Putrajaya pada Isnin. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Di sebalik pelbagai reaksi pelantikan jemaah menteri pada Jumaat lepas, hakikatnya Kerajaan Perpaduan yang terbentuk merupakan langkah penting dalam menamatkan kemelut ketidaktentuan politik dan Parlimen tergantung yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah negara.

Bertitik tolak daripada hasrat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Kerajaan Perpaduan itu dilihat sebagai jalan rintis kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mewujudkan sebuah kerajaan kuat dan stabil bagi mengelakkan situasi ketidakstabilan politik berlaku lagi sepertimana penggal lepas.

Iklan
Iklan

Biarpun begitu, langkah yang diambil Pengerusi Pakatan Harapan (PH) ini ketika mengumumkan jemaah barisan menteri kabinetnya seramai 28 orang itu dan disifatkan banyak pihak ‘berwajah Malaysia’ telah menimbulkan pelbagai reaksi positif dan sebaliknya walaupun telah memasuki hari kelima pelantikannya.

Dua jawatan yang menjadi tumpuan dan perbualan pelbagai lapisan masyarakat ialah jawatan Menteri Kewangan yang dipegang Perdana Menteri dan juga jawatan Timbalan Perdana Menteri yang diberikan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Iklan

Pelantikan Zahid yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dilihat memberi imej negatif kepada Kerajaan Perpaduan berikutan pertuduhan mahkamah melibatkan kes rasuah yang sedang dihadapinya manakala Anwar dikatakan tidak wajar untuk Perdana Menteri memegang portfolio Menteri Kewangan.

Situasi berbeza

Iklan

Mengulas mengenainya, penganalisis politik, Prof. Dr Azmi Hassan berpendapat, adalah tidak wajar mempersoalkan tindakan Anwar dalam pembentukan barisan kabinetnya memandangkan kabinet kali ini adalah berbeza dan sukar sekali gus memerlukan sokongan jajaran parti lain dalam membentuk kerajaan.

Keadaan ini menurut Azmi menuntut Anwar mengambil kira sokongan yang bukan sahaja dalam kalangan PH tetapi juga gabungan parti lain dalam pelantikan jemaah menterinya walaupun beliau pada dasarnya mempunyai hak untuk melantik sesiapa sahaja yang dirasakan layak dalam membantunya mentadbir negara.

"Anwar terpaksa meneliti beberapa faktor (pelantikan barisan menteri) dan pembahagian jawatan ini penting untuk beliau menghalusi sewajarnya memandangkan ia merupakan asas penting kerjasama dengan pelbagai parti dalam menjamin kestabilan politik negara,” kata Azmi kepada Bernama.

Kerana itu, Azmi berkata semua pihak perlu menerima hakikat akan situasi pentadbiran negara ketika ini serta menghentikan segala suara ketidakpuasan hati memandangkan pembentukan Kerajaan Perpaduan ini juga merupakan hasrat Seri Paduka Baginda.

Malah, Azmi yang juga Geostrategis dan Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara berpandangan adalah tidak mustahil sekiranya langkah pembentukan Kerajaan Perpaduan itu tidak diambil negara berkemungkinan hingga kini masih lagi dalam kemelut politik dan tidak mempunyai kerajaan.

"Dengan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda, maka tertubuhlah apa yang dikatakan Kerajaan Perpaduan atau sesetengah pihak memanggilnya kerajaan campuran dan menerusi langkah ini, kita melihat Anwar dan parti politik yang berkerjasama melakukan pengorbanan besar dan ini harus diterima rakyat.

"Saya pasti rakyat akan menghargainya juga kerajaan ini sebaik jemaah menteri melaksanakan tugas-tugas mereka,” katanya.

Kuasa Perdana Menteri

Sementara itu, pakar perlembagaan daripada Universiti Teknologi Malaysia,Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, biarpun dalam Perlembagaan Persekutuan tiada kategori Kerajaan Perpaduan, namun kerajaan yang dibentuk kali ini menggambarkan hasrat kerajaan baharu dalam mengukuhkan lagi perpaduan kaum dan juga perpaduan dalam kabinet pimpinan Anwar.

"Dalam perlembagaan, penubuhan kerajaan adalah berasaskan sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat... Jadi, selagi Perdana Menteri mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat, maka ia sah untuk ditubuhkan.

"Penjenamaan sesebuah kerajaan boleh dibuat berdasarkan keperluan, cuma dalam konteks ilmu sains politik, kategori kerajaan ini adalah kerajaan campuran, melibatkan beberapa buah parti ataupun Kerajaan Perpaduan apabila semua parti bergabung dalam kerajaan dan tiada pembangkang,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai kritikan barisan kabinet kerajaan baharu, beliau berkata adalah menjadi perkara biasa kritikan atau pandangan yang disuarakan rakyat dalam sebuah negara berkonsepkan demokrasi dan ia harus diraikan.

Bagaimanapun, beliau berkata pelantikan barisan jemaah menteri kabinet ini tidak boleh dikaitkan dengan Yang di-Pertuan Agong memandangkan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan ia adalah berdasarkan nasihat Perdana Menteri kepada Seri Paduka Baginda.

"Pelantikan menteri tidak termasuk dalam budi bicara Yang di-Pertuan Agong kerana di bawah Perkara 40, ia adalah kuasa Perdana Menteri untuk melantik menteri-menteri dan kerana itu jika terdapat kritikan kabinet, ia tidak perlu dikaitkan dengan kedudukan atau titah Seri Paduka Baginda,” katanya.

Landskap politik berubah

Bagi pensyarah kanan di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, beliau berpandangan masyarakat seharusnya memahami landskap politik negara berubah mengikut keadaan semasa dan perlu menerima dengan hati terbuka.

Tambahnya lagi, ini bukannya masa untuk terus mempertikaikan pembentukan kabinet Kerajaan Perpaduan tetapi sebaliknya mencari titik persamaan atau keseimbangan antara gabungan parti supaya kerajaan ini dapat berfungsi dengan baik.

"Politik negara dinamik dan sebab itu kita tidak boleh terlalu stereotaip. Malah, Anwar dilihat bertindak lebih baik dengan melantik kabinetnya berdasarkan cadangan parti siapa yang layak (dipilih sebagai menteri) selain mengikut hierarki dan tindakan itu membuatkan pemilihan anggota kabinet lebih stabil.

"Disebabkan itu, yang penting ketika ini adalah rakyat harus memantau untuk memastikan kerajaan Persekutuan boleh ‘deliver’ dan buat kerja dengan sebaiknya daripada (kita) terus mempertikaikan (pembentukannya) tanpa ada titik nokhtah.”

Beliau juga yakin barisan kepimpinan kerajaan kali ini tidak mudah goyah kerana menyifatkan perdana menteri akan memimpin pentadbiran negara dengan berpegang teguh pada prinsip-prinsip perlembagaan kerana tidak mahu situasi kabinet diragui dan tidak diyakini seperti penggal sebelumnya berlaku lagi. - Bernama