KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan dua bot nelayan asing Vietnam bersama 19 kru kerana menangkap ikan dalam perairan negara tanpa kebenaran pada Isnin.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Khairulanuar Abdul Majid berkata, dua bot tunda ganding itu ditahan pada jam 10.15 malam, kira-kira 135 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.
Menurutnya, kehadiran bot nelayan Vietnam yang ketika itu leka menangkap ikan berjaya dikesan kapal Maritim yang sedang melaksanakan Op Kuda Laut dan Op Naga Barat.
"Bot pertama yang ditahan dikendalikan 14 kru termasuk tekong manakala bot kedua dikendalikan lima kru bersama tekong.
"Semua rampasan dianggarkan bernilai hampir RM3 juta melibatkan hasil tangkapan laut seberat 900 kilogram, bekalan diesel, bot dan peralatan menangkap ikan," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.
Khairulanuar berkata, semua kru berusia antara 16 hingga 62 tahun bersama bot yang ditahan dibawa ke jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut.
Katanya, proses membawa bot tahanan mengambil masa lebih 35 jam kerana cuaca buruk susulan musim Monsun Timur Laut.
Jelas beliau, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.
"Maritim Terengganu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran yang akan merugikan negara.
"Sepanjang tahun ini kita telah berjaya menahan 30 bot nelayan asing dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM45 juta termasuk bot tahanan, peralatan menangkap ikan, hasil ikan dan diesel," katanya.