YAN - Pencegahan dadah dalam komuniti mampu membantu mewujudkan masyarakat yang harmoni tanpa dadah.
Timbalan Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Yan, Mohd Fakhzan Nasir berkata, komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Seri Perigi telah menganjurkan program pencegahan dadah dalam komuniti.
Katanya, program tersebut mendapat kerjasama daripada pihak Pemadam Yan dan juga Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Menurut Mohd Fakhzan, objektif program adalah untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat tentang bahaya dadah dan peranan masyarakat dalam membendung gejala ini.
"Program ini diisi dengan slot ceramah dari Pemadam dan AADK Yan. Selain itu juga, pertandingan mewarna kanak-kanak serta pameran dari agensi memeriahkan lagi program ini,” katanya.
Tambah Fakhzan, slot ceramah yang diadakan dilihat mampu membuka minda masyarakat akan kepentingan serta tanggungjawab mereka dalam membasmi masalah dadah ini.
"Sebelum ini mereka hanya merasakan pihak berkuasa sahaja yang bertanggungjawab ke atas masalah ini.
"Dengan berlangsungnya program sebegini, minda mereka dapat diisi dengan tanggungjawab yang perlu dilakukan oleh diri mereka,” katanya.