JASIN - Lapan pelajar Politeknik Merlimau Melaka (PPM) di sini terkejut apabila bilik bahagian belakang rumah sewa mereka di Taman Merlimau Utara terbakar di sini, pada pagi Rabu.
Bagaimanapun kejadian jam 7.50 pagi itu tidak membabitkan sebarang kehilangan nyawa kerana kesemua penghuninya tiada di rumah.
Mangsa, Anis Shamini Jaafar, 22, yang juga pelajar pengajian Ijazah Sains Komputer berkata, ketika kejadian mereka baharu tiba di politeknik sebelum dikejutkan dengan panggilan dari pemilik rumah.
Menurutnya, kelapan-lapan mereka yang mendiami rumah itu sejak Oktober lalu bergegas pulang ke rumah sewa dan melihat bomba sedang menjalankan operasi pemadaman api.
Dia berkata, kejadian itu disedari jiran belakang rumahnya yang melihat kepulan asap dari bilik belakang sebelum menghubungi pihak bomba.
"Kebakaran itu turut menyebabkan sebuah komputer riba milik rakan kami hangus selain kelengkapan bilik seperti katil juga tidak dapat diselamatkan.
Tambahnya, pihak politeknik juga telah mengambil langkah segera dengan menyediakan penginapan sementara buat mereka memandangkan bekalan elektrik rumah itu masih terputus.
Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) 1 (KUP) Syukor Mat Ali berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Merlimau dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 7.56 pagi.
"Setiba di lokasi kita dapati berlaku kebakaran rumah melibatkan bahagian bilik tidur yang telah terbakar 10 peratus.
"Kebakaran dapat dikawal jam 8.20 pagi dan punca kejadian masih lagi disiasat,"jelas beliau.