KUALA LUMPUR - Sejumlah 7,447 kes kebakaran struktur dicatatkan tahun lepas dengan 60 peratus daripadanya disebabkan oleh punca elektrik, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Dr Mohd Zaid Abd Ghani, Penguasa Kanan Bomba I, Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM berkata, angka itu merupakan yang tertinggi sejak 2018, melibatkan 804 kedai, 408 kilang, 263 kemudahan penyimpanan, 200 pejabat dan lain-lain struktur bangunan dan premis kediaman.
Beliau berkata, laporan paling kerap diterima ialah yang disebabkan punca elektrik (4,558 insiden), peralatan gas (1,328 insiden), pemetik api (525 insiden) dan bara api (519 insiden).
"Berasaskan data daripada jabatan forensik kebakaran, ia menunjukkan punca utama kebakaran melibatkan litar pintas, beban lebih elektrik dan pemanasan rintangan.
Majoriti kebakaran berlaku dalam bangunan kediaman tetapi kami masih menerima laporan kes melibatkan bangunan komersial,” katanya pada forum media"Ignore the Peril, Face the Mayhem", di sini pada Rabu.
Forum itu dianjurkan dengan kerjasama Malaysian Press Institute, JBPM dan Allianz Malaysia Berhad bagi meningkatkan kesedaran mengenai insurans kebakaran.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penajajaminan Allianz Malaysia Bhd, Rafliz Ridzuan berkata, untuk hartanah komersial, kekurangan penyenggaraan adalah satu punca utama kebakaran disebabkan pepasangan dan peralatan usang, pemasangan tidak betul, kekurangan pemeriksaan tetap dan tiada pengawalseliaan ketika masa operasi.
"Paling penting, kebakaran elektrik boleh dielakkan dan ini semuanya bergantung kepada pengurusan risiko dan memiliki penyelesaian yang boleh dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Bhd, Sean Wang percaya masalah yang menyelubungi insurans komersial bukannya perlindungan yang tidak mencukupi tetapi kurangnya rasa terdedah kepada risiko berkenaan keselamatan daripada kebakaran atau keselamatan secara umum.
"Kebakaran adalah tajuk besar dalam industri insurans. Selaku syarikat insurans kami melihat banyak tuntutan insurans setiap tahun dan kerosakannya membawa malapetaka.
"Selain daripada mengambil mudah, ada pemilik perniagaan yang meletakkan kos dan kebarangkalian tuntutan di atas keselamatan dan penilaian risiko sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata, penetapan minda sedemikan perlu diubah kerana adalah penting untuk memahami risiko perniagaan dan bagaimana mengelakkannya, mengurangkan dan melindungi bagi memastikan kurangnya gangguan dan operasi perniagaan yang berterusan.
"Kegagalan berbuat demikian mengakibatkan pemilik perniagaan mendapat perlindungan insurans terkurang dan rentan dari segi kewangan,” kata beliau. - Bernama