PEMAIN kacukan Malaysia-Australia, David Rowley sanggup terbang semula ke Malaysia dalam tempoh 72 jam selepas tiba di Berlin, Jerman kerana keterujaannya dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bimbingan pengendali Kim Pan-gon.
Pemain tengah Sri Pahang FC itu yang hampir tiga tahun tidak bertemu keluarga berkata, beliau tidak teragak-agak untuk kembali ke Kuala Lumpur, sejurus dimaklumkan namanya disenarai bagi persediaan menghadapi Piala AFF 2022 dari 20 Disember sehingga 16 Januari depan.
"Saya tiba di Jerman dan selepas tiga hari saya cakap pada isteri saya, maaf saya mesti balik Malaysia dan dia sangat terkejut tetapi gembira.
"Saya memang ada perancangan untuk bercuti, saya tak jumpa keluarga dan isteri sudah tiga tahun tapi inilah bola sepak," katanya yang membuat kejutan bertutur dalam Bahasa Malaysia ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) di Kelana Jaya pada Rabu.
Rowley yang berazam untuk berada dalam senarai akhir 23 pemain ke Piala AFF, merupakan antara muka baharu dipanggil menyertai kem latihan pusat pasukan negara bermula 29 November lepas, selain dua rakan sepasukannya di Sri Pahang yang juga pemain naturalisasi Sergio Aguero dan Lee Tuck.
Beliau sudah bersedia dengan apa sahaja arahan dan yang bakal diberikan Pan Gon demi memastikan pasukan mencapai kejayaan disasarkan.
"Saya akan cuba yang terbaik jika diminta untuk menjaringkan gol, saya akan cuba, jika bertahan, saya akan cuba bertahan untuk pasukan...dengan Sri Pahang saya berikan terbaik, saya jaringkan gol. Jadi saya berharap saya boleh jaringkan gol pada sepakan sudut, sepakan percuma dan juga membantu pemain baharu dalam pasukan,” kata pemain berusia 32 tahun itu.
Dalam pada itu, Rowley yang mengumpul keseluruhan tujuh gol bersama Sri Pahang musim ini, mengakui tidak pernah berjumpa seorang jurulatih seperti Pan-gon sepanjang karier bola sepaknya, disebabkan sikap profesional amat tinggi ditonjolkan jurulatih dari Korea Selatan berusia 53 tahun itu.
"Setiap hari kita ada perancangan, ia sangat teliti bermula dari bangun ke (waktu) tidur semuanya kita tahu. Sikap profesional beliau (Pan-gon) sangat tinggi dan sesuatu yang saya tidak pernah lihat sebelum ini,” katanya.
Sebagai persediaan menghadapi Piala AFF akan datang, Malaysia akan mengharungi dua perlawanan antarabangsa Tier 1 masing-masing menentang Kemboja di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Jumaat ini dan berdepan Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 14 Disember ini.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B Piala AFF 2022 akan memulakan cabaran dengan bertemu Myanmar di Yangon pada 21 Disember, Laos di Bukit Jalil (24 Disember), Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan Singapura di Bukit Jalil (3 Januari). - Bernama