[SURAT TERBUKA] Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim,
Tidak ada Perdana Menteri negara ini yang saya percaya lebih memahami makna dan peranan kebudayaan dan kesenian selain daripada Datuk Seri sendiri. Saya juga percaya minat dan kecenderungan Datuk Seri terhadap kebudayaan, kesenian dan sastera bukan secara berpura-pura, tetapi jujur dan tulen.
Tradisi kebudayaan dan kesenian kita dalam krisis. Kita bukan kurang budayawan dan seniman. Kita kurang dukungan pemerintah dan naungan pihak swasta. Pimpinan politik kita rata-rata buta budaya dan seni. Pentadbir kita bukan pengurus budaya seperti sepatutnya. Maka, seni budaya tidak secukupnya terbela.
Sekurang-kurangnya sastera dan sasterawan punya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Tetapi seni dan budaya tiada beribu dan berbapa. Sebelum ini, sekurang-kurangnya ada kementerian yang di dalam nama rasminya tercatat ‘kesenian dan kebudayaan’ walaupun ditulis bersekali dengan perkataan ‘pelancongan.’
Maka, wujudlah sedikit sebanyak perhatian yang diberikan pada apa yang didefinisikan oleh para birokrat sebagai kesenian dan kebudayaan. Malangnya, bahagian yang membabitkan kesenian dan kebudayaan dalam kementerian tersebut jelas dipencilkan dengan biaya yang terlalu sedikit. Keutamaan kementerian berkenaan tentunya untuk membuat promosi besar-besaran bagi menarik pelancong yang khabarnya membawa masuk RM50 bilion setahun.
TEGURAN
Saya secara peribadi banyak kali menegur bahawa tidak mungkin berlaku keserasian antara ‘pelancongan‘ dengan ‘kesenian dan kebudayaan’. Ini bukan bermakna bahawa pelancongan tiada kaitan dengan kebudayaan dan kesenian. Malah, kita boleh belajar daripada Pulau Bali di Indonesia bagaimana pulau itu ‘menjual’ seni budaya sebagai tarikan utama untuk pelancong selain keindahan alam sekitarnya.
Bagaimanapun, dalam kabinet Datuk Seri entah mengapa ‘kesenian dan kebudayaan” itu hilang begitu sahaja. Yang tinggal hanya ‘pelancongan’. Maka, para seniman dan budayawan bertanya, ‘seni dan budaya, di mana sebenarnya?’ Malah, mereka bertanya mengapa calitan ‘kesenian dan kebudayaan’ yang ada pada kementerian yang terdahulu (walaupun setakat status menumpang) terus hilang dari radar keutamaan negara.
Datuk Seri tentu lebih faham makna pembinaan negara bangsa dan upaya membina tamadun. Juga, perlunya kita mendukung tradisi kesenian dan kebudayaan leluhur.
Budayawan dan seniman amat faham keutamaan untuk memaju negara, menangani isu kemiskinan dan peningkatan kos sara hidup serta usaha menarik pelaburan asing pada masa ini.
Tetapi, janganlah abaikan budaya dan seni. Hakikatnya, selama ini terlalu banyak korban pada kebudayaan dan kesenian atas alasan agama, politik, kewangan, dan entah apa lagi.
Datuk Seri lebih maklum akan wujudnya pemahaman sempit tentang kebudayaan dan kesenian yang telah membunuh sekian banyak tradisi pengucapan seni budaya anak bangsa. Seni dan budaya menjadi korban pertama apabila orang politik menjaja agama untuk membuktikan tahap keislaman mereka.
Penyataan seni jadi bisu, beku malah adakalanya terus mati. Dialog cerdik tentang kesenian juga ada kalanya ditakuti waima di menara gading. Penggiat seni merasa diri mereka terlalu kecil dan tidak dihargai.
Kita tahu bahawa seni budaya cerminan bangsa. Tradisi kesenian adalah barometer kemajuan minda mana-mana bangsa. Bangsa yang yang meminggirkan tradisi seni dan budayanya akan terus terpenjara dalam kekecilan minda dan kejumudan fahaman.
Semasa hayatnya, saya menemui novelis tersohor Indonesia, Pak Prameodya Ananta Toer. Saya minta pandangan jujur beliau tentang perbezaan antara pembinaan jati diri bangsa Indonesia dan Malaysia. Secara bergurau kata beliau, orang Indonesia lambat maju ke hadapan kerana mereka membawa baggage budayanya dengan penuh setia sedangkan orang Malaysia maju terus dengan meruntun akar budi budaya mereka.
Hari ini saya percaya dengan pandangan itu. Kita maju dengan simbol binaan batu, kemajuan ekonomi dan kemewahan peribadi. Indonesia mengambil masa menyaingi kita kerana mereka membawa sekali jiwa dan nurani dalam melangkah ke hadapan.
Tidak hairanlah mereka meletakkan ‘pendidikan’ dan ‘kebudayaan’ sebagai nama sebuah kementerian. Sekian lama mereka punyai ‘Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan’ walaupun akhir-akhir ini ditambah menjadi ‘Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Riset dan Teknologi Republik Indonesia.’ (Kemdikbud-Ristek).
Mereka mahu mempertahankan nalar publik (public mindset) yang betul dalam konteks pembinaan anak bangsa yang patriotik, faham sejarah, berbahasa sama dan memahami seni budaya. Itulah tunjang patriotisme mereka.
Pembabitan saya secara langsung dalam seni dan budaya selama lebih 50 tahun mengajar saya bahawa cakerawala seni budaya semakin mengecil. Kecilnya bukan sahaja daripada perhatian dan dukungan tetapi wibawa dan wacananya. Lebih malang, tiada dukungan pemerintah seperti yang diharapkan.
TIDAK KESAMPAIAN
Saya tahu kehidupan malang yang dilalui oleh banyak budayawan dan seniman. Juga, kekecewaan mereka untuk melihat sumbangan mereka dihargai oleh negara. Malah, kita sudah menghentikan Anugerah Seni Negara sejak sekian lama, satu-satunya penghormatan tertinggi untuk budayawan dan seniman kita.
Saya teringat hasrat Allahyarhamah Khatijah Awang untuk mementaskan makyung secara besar-besaran dan autentik. Saya memahami kekecewaan Dalang Dollah Baju Merah yang kehebatan seni wayang kulitnya hanya terbatas di Kelantan. Saya merasakan rintihan Allahyarham Rahman B, doyen bangsawan yang mahu mementaskan bangsawan sebelum akhir ayatnya. Kesemua hajat mereka tidak kesampaian.
Saya juga memahami bagaimana sukarnya aktivis seni budaya di kampung dan desa di seantero pelosok negara hari ini untuk meneruskan tradisi kesenimanan mereka.
Dan saya lebih memahami masalah seniman teater, muzik dan lainnya yang harus berdepan dengan badai kealpaan dan sikap tidak peduli para birokrat selain kurangnya sokongan dan pembiayaan swasta untuk mendukung kegiatan mereka. Seniman sedang marah-marah dan kecewa.
Kita semua tahu keupayaan seniman kita, daripada yang di jalanan termasuk buskers dan kumpulan teater. Mereka boleh! Kita juga tahu bagaimana pentas-pentas seni utama kita yang tidak mungkin dapat diisi. Panggung Anniversari di Taman Botani Perdana menjadi gajah putih. Istana Budaya hanya menjadi binaan gah yang digunakan setahun entah beberapa kali.
Tanyalah berapa banyak kali telah digunakan panggung-panggung utama yang kita ada di Kuala Lumpur, dari Balai Budaya Tun Syed Nasir dan Auditorium DBP serta Stor Teater DBP. Juga sekian banyak panggung serta ruang yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), selain pentas eksperimen di menara gading.
Bilakah agaknya Kuala Lumpur benar-benar menjadi kota seni dan budaya?
Saya faham jawaban birokratiknya adalah memang terdapat bahagian dan jabatan yang memberikan sokongan, dana dan bantuan pada seniman.
Lebih buruk lagi, berlaku pertindihan kuasa antara kementerian terbabit, misalnya antara Kementerian Komunikasi dan Mutimedia (kini Kementerian Komunikasi dan Digital) dengan Kementerian Sains, Teknokogi dan Inovasi (kini Kementerian Sains dan Teknologi) dan juga Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (kini Kementerian Pelancongan). Ini masalah legasi yang belum selesai.
Saya percaya Datuk Seri mengerti tentang penting dan besarnya industri kandungan kreatif di dunia hari ini. Ia merupakan industri berbilion ringgit yang melonjakkan banyak negara ke persada baharu ekonomi seperti yang terjadi pada Korea Selatan.
Akhir kalam, ingatlah bahasa jiwa bangsa. Seni budaya akar jati diri negara bangsa. Kita membina citra bangsa demi kesepaduan dan pemahaman pelbagai budaya di negara ini.
Datuk Seri Perdana Menteri tentu lebih faham tentang itu.
*Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau seorang aktivis seni selain penulis kreatif dan kolumnis. Buku beliau Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan ke Media Prima Berhad telah diterbitkan oleh DBP.