Bila stigma terhadap janda bakal berakhir?

Iklan

STIGMA masyarakat terhadap janda belum dapat dibuang sepenuhnya kerana masih ada pihak yang melihat mereka daripada pelbagai sudut negatif.

Walaupun kini pandangan negatif terhadap golongan berkenaan tidak seperti 30 tahun lalu tetapi mereka tetap menjadi buah mulut pihak tertentu.

Iklan
Iklan

Tidak ramai tahu bagaimana mereka yang bergelar janda perlu melalui kehidupan selepas penceraian, lebih-lebih lagi jika bergelar ibu tunggal dan perlu membesarkan anak bersendirian.

Ia bukan perkara mudah kerana perlu bekerja mencari nafkah dan pada masa sama memerlukan ruang untuk mendidik anak-anak agar tidak terabai.

Iklan

Merak Jalanan tertanya-tanya kenapakah wanita kerap dipersalahkan jika sesebuah perkahwinan itu berakhir dengan penceraian.

Acap kali apabila penceraian berlaku, ada suara-suara sumbang yang akan memberikan pandangan pertama bahawa isteri tidak pandai menjaga suami tanpa mengetahui perkara sebenar berlaku dalam hubungan mereka.

Iklan

Selain itu, golongan janda juga kerap dikaitkan dengan perkara-perkara negatif seperti suka mengganggu rumah tangga orang lain dan terlibat dengan perkara tidak bermoral.

Mungkin benar, mungkin juga tidak tetapi adakah adil sekiranya masyarakat melabel semua janda sebagai ‘jahat’?

Seseorang itu tidak akan melalui apa yang dirasai orang lain sehingga mereka sendiri berdepan situasi sama. Merak Jalanan tidak setuju dengan individu di media sosial yang menjadikan janda sebagai subjek dalam pengisian penulisan atau video, seolah-olah mereka ‘barang dagangan’ untuk diperkatakan ramai.

Begitu juga kaedah pengiklanan produk menggunakan perkataan janda bagi tujuan ditularkan orang ramai yang secara tidak langsung mengundang pandangan negatif terhadap golongan tersebut.

Janganlah hanya kerana mahu melariskan produk atau bagi tujuan pe-masaran, kita sanggup menjadikan golongan janda sebagai bahan jenaka.