PADA 2 Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan barisan kabinet Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada dua Timbalan Perdana Menteri dan 25 menteri.
Kesemua yang dilantik telah selesai mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 3 Disember.
Bermula Isnin pada 5 Disember, mereka telah memulakan tugas pertama di kementerian masing-masing. Semuanya nampak begitu bersemangat, berkobar-kobar dan teruja mahu berbakti kepada rakyat.
Selain isu bekalan makanan, isu-isu besar yang pernah dibangkitkan sebelum ini juga akan diberi perhatian oleh menteri terlibat, antaranya projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).
Datuk Seri Mohamad Hasan yang menjawat jawatan Menteri Pertahanan memaklumkan akan meneliti isu LCS sebaik sahaja beliau memulakan tugas secara rasmi.
Penulis pasti ramai yang menunggu apakah tindakan beliau untuk menyelesaikan isu berkenaan. Diharap ada kebenaran yang dibongkar dan pihak yang terlibat diheret ke muka pengadilan. Jangan sorok waima kesalahan kecil, wajib dikenakan hukuman setimpal.
Media sebelum ini melaporkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyatakan kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk lima LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.
Selain Menteri Pertahanan, tugas Menteri Kesihatan yang disandang Dr Zaliha Mustafa juga menarik perhatian ramai.
Masing-masing tidak sabar mahu melihat apakah yang akan dilakukan menteri wanita pertama yang memegang portfolio di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu.
Bagi mengharungi tugas mencabar tersebut, Dr Zaliha mengambil pendekatan terbuka untuk menerima segala nasihat, cadangan dan pertolongan daripada bekas menteri-menteri sebelum ini untuk dijadikan rujukan dalam menerajui KKM.
Dr Zaliha juga mengakui cabaran terbesarnya adalah meneruskan kecemerlangan KKM, selain berusaha memperkasakan perkhidmatan kesihatan negara secara amnya.
Bagi penulis, pendekatan yang diambil Ahli Parlimen Sekijang yang berpengalaman sebagai doktor bidang perubatan keluarga itu adalah langkah bijak dalam merencanakan KKM ke arah lebih baik demi kesejahteraan rakyat.
Tidak salah jika kita belajar daripada orang yang lebih ber-pengalaman.
Bagaimanapun, berbeza pula dengan pendekatan diambil Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang senyap-senyap menjadi penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya pada petang Isnin.
Menurut Anthony, tinjauan tersebut dilakukan tanpa memaklumkan kepada pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan media bagi merasai sendiri pengalaman pengguna pengangkutan awam terutama ketika waktu puncak.
Pada 9 November lalu, Stesen LRT Kelana Jaya hingga LRT Ampang Park ditutup kepada pengguna susulan gangguan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya. Gangguan itu meresahkan banyak pihak terutama warga kota yang sememangnya bergantung kepada pengangkutan awam untuk keluar bekerja.
Secara dasarnya, inilah yang rakyat mahu dan lihat apabila ada menteri ambil kisah dengan masalah yang saban hari dihadapi mereka.Bukan sekadar cakna tetapi cari jalan penyelesaian terbaik. Rakyat juga pasti faham jika masalah tersebut tidak mampu diselesaikan, sekali gus tetapi sekurang-kurangnya ada juga yang diberi perhatian dan diselesaikan.
Jangan sekadar hanya melawat kawasan, dengar aduan, catat aduan dan kononnya akan diselesaikan tetapi sebaik sahaja masuk pejabat, semua aduan dan masalah itu dilupakan terus.
Sebenarnya, rakyat juga tidak kisah siapa yang menjawat jawatan menteri asalkan yang dilantik itu mampu menggalas tanggungjawab diamanahkan dengan sebaiknya, bukan sekadar pandai berkata-kata tapi kerja tak jalan.
Penulis harap barisan kabinet Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar dapat melakukan tugas dengan sebaiknya. Jangan berkobar-kobar di permulaan tapi akhirnya tak ubah seperti pepatah ‘hangat-hangat tahi ayam’.
Ingatlah setiap tindakan menteri, rakyat memerhati. Walaupun kecil di mata menteri tapi besar maknanya di hati rakyat.
*Siti Shamila Che Zahari ialah Editor Pengisian Sinar Harian