ISKANDAR PUTERI - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengingatkan kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor supaya berhemah selari dengan penyesuaian politik susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Katanya, keputusan PRU15 yang mengejutkan dan di luar jangkaan memerlukan ADUN di negeri ini melakukan penyesuaian segera termasuk sentiasa menjaga batas pertuturan dan mengelak menyentuh sentimen perkauman dan agama.
"Terdahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemenang kerusi DUN Tioman dan Parlimen Padang Serai pada PRU15 yang tamat semalam. (Rabu)
"Ahli Dewan juga perlu bergerak untuk terus maju ke hadapan dan mengelak sebarang konflik berdasar kaum dan agama," katanya sebelum Persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail pada Khamis.
Pada Rabu, Perikatan Nasional (PN) berjaya merampas kerusi Parlimen Padang Serai daripada Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 selepas calonnya, Datuk Azman Nasrudin menang dengan majoriti 16,260 undi mengalahkan saingan terdekat, Dr Mohamad Sofee Razak daripada PH.
Azman memperoleh 51,637 undi, manakala Mohamad Sofee mendapat 35,377 undi.
Sementara di DUN Tioman, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Hussain pula mengekalkan kerusi untuk penggal keempat pada PRU15 dengan mendapat 8,080 undi pada pertembungan lima penjuru.
Calon Perikatan Nasional (PN), Nor Idayu Hashim mendapati 7,507 undi.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu, BN menawan 40 daripada 56 kerusi DUN Johor, Pakatan Harapan (PH) menang 11 kerusi DUN, diikuti Perikatan Nasional (PN) tiga; manakala PKR dan Muda masing-masing satu kerusi.