SKUAD Switzerland menafikan beberapa pemain yang dilaporkan sakit sebelum ini menghidap Covid-19 ketika mereka masih mencari jawapan punca kekalahan kepada Portugal pada aksi kalah mati Piala Dunia Qatar 2022, semalam.
Dilaporkan sekurang-kurangnya tiga pemain menerima kesan daripada sakit itu ketika mereka kalah besar kepada Portugal 1-6.
Kem Switzerland mengalami masalah kesihatan itu dengan pengurusan pasukan menyifatkan situasi itu sebagai 'selesema'.
Jurulatihnya, Murat Yakin memberitahu, Silvan Widmer mengalami demam dan gejala selesema, manakala Fabian Schaer digantikan pada babak pertama kerana bergelut dengan pernafasan dan Nico Elvedi pula tidak diturunkan susulan tidak cergas 100 peratus.
"Kami kurang kesegaran. Malangnya, kami mempunyai beberapa pemain yang sakit atau mengalaminya dan lawan pula lebih kekuatan,” kata Yakin.
Dalam pada itu Pengarah Sukannya, Pierluigi Tami pula menjelaskan ia bukan persoalan mengenai Covid-19 sebaliknya ia adalah virus yang merebak di hotel.
"Bukan semua tetapi beberapa pemain mengalaminya. Kami tahu mengenai masalah itu (virus) dan membuat cadangan kepada pasukan.
"Pada mulanya ia bukan satu masalah. Namun kami akan lihat sekiranya kami boleh melakukan sesuatu yang lebih baik pada masa depan,” katanya.