BOLA sepak ibu kepada segala pingat berkemungkinan tidak akan dipertandingkan pada temasya Sukan Universiti Asean (AUG) Surabaya, Malang 2024.
Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Dr Pekan Ramli ketika mengesahkan perkara itu berkata, Indonesia ketika Mesyuarat Majlis Sukan Universiti ASEAN (AUSC) membentangkan sebanyak 18 acara sukan yang bakal dipertandingkan tidak menyenaraikan acara paling popular tersebut.
Menurut Pekan, temasya ini buat pertama kali dalam sejarah AUG akan berlangsung di dua bandar utama di Surabaya dan Malang.
"Tragedi malang yang mengorbankan 132 nyawa di Stadium Kanjuruhan, Malang di Jawa Timur pada aksi Liga 1 Indonesia ketika Arema FC menentang Persebaya pada Oktober lalu masih menjadi igauan buruk kepada Indonesia.
"Bagaimanapun tuan rumah masih ada masa untuk menilai semula keputusan sebelum memutuskan untuk mengadakan acara bola sepak atau tidak di AUG 2024, sambil mengharapkan sokongan kerajaan Indonesia berkenaan aspek keselamatan.
"Thailand dan Malaysia antara negara yang mendesak Indonesia agar tetap menyenaraikan acara bola sepak pada temasya itu nanti," katanya.
Pekan berkata demikian ketika berkongsi perkembangan terkini status AUG Surabaya, Malang 2024 hasil pertemuan dengan Ketua Bidang Prestasi Tinggi, Badan Pengelola Olahraga Mahasiswa Indonesia (BAPOMI), Del Asri.
Hasil Mesyuarat AUSC itu sebanyak 18 acara sukan iaitu olahraga, renang, futsal, badminton, sepak takraw, bola keranjang (5x5, 3x3), bola tampar (dalam dewan, pantai), handball, judo, pencak silat, wushu, taekwondo, karate, sport climbing, memanah, petanque, tenis dan mind sports (chess, bridge) akan dipertandingkan pada temasya tersebut.
Sementara itu, Pekan berkata, Malaysia kekal menerajui Sekretariat AUSC bagi tempoh 2023-2025 setelah memenangi undian mengatasi Indonesia pada Mesyuarat Agong Tahunan AUSC yang turut berlangsung Rabu.
"Kita terus diberi kepercayaan ini sejak 2010 oleh kebanyakan negara anggota tetapi pada waktu yang sama kita juga perlu melepaskan tanggungjawab ini kepada negara lain atas semangat setiakawan negara ASEAN.
"Jika ada negara yang sudah menyatakan hasratnya mengapa tidak kita lepaskan kepada mereka selepas ini,” katanya.
Mesyuarat AUSC kali ke-35 dan Mesyuarat Agong Tahunan AUSC kali kelima di Surabaya di Surabaya, Indonesia yang bermula Isnin dirasmikan Pekan yang mewakili Kementerian Pengajian Tinggi.