SHAH ALAM - Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai di Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang adalah isyarat penolakan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Perikatan Nasional (PN) memperoleh kemenangan besar di Padang Serai dengan berjaya meraih majoriti undi 16,260.
Ujarnya, kejayaan itu juga merupakan hasil kerjasama daripada segenap pihak gabungan itu yang terdiri daripada pemimpin, penyokong dan jentera.
"Ia merupakan satu isyarat penolakan rakyat terhadap BN dan PH di DUN Tioman.
"Namun, saya ingin mengucapkan tahniah kepada BN kerana berjaya mengekalkan kemenangan di DUN Tioman,” katanya menerusi hantaran video di Facebook pada Khamis.
PRU15 di Parlimen Padang Serai menyaksikan kemenangan PN apabila calonnya, Datuk Azman Nasrudin memperoleh 51,637 undi manakala saingan utamanya daripada PH, Dr Mohamad Sofee Razak mendapat 35,377 undi.
Sementara di DUN Tioman pula BN berjaya mengekalkan kerusi tersebut apabila calonnya, Datuk Seri Mohd Johari Hussain mendapat 8,080 undi mengalahkan wakil daripada PN, Nor Idayu Hashim yang memperoleh 7,507 undi.
Sementara itu, Tuan Ibrahim mencadangkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian pada hari cuti.
Jelas beliau, ia bagi memudahkan proses pengundian memandangkan tidak semua pengundi menetap di tempat mereka mengundi.
"Kalau dilihat di DUN Tioman, peratusan mengundi rendah kerana ramai pengundi tinggal di luar. Ada yang tinggal di Kuala Lumpur dan kawasan yang luar dengan jarak jauh yang menyukarkan mereka pulang mengundi,” tambahnya.