SEREMBAN - Santai dan bersahaja. Itulah gaya Datuk Seri Mohamad Hasan yang disenangi warga Rantau.
Berbaju kuning dan berseluar jeans serta tanpa ditemani sesiapa, Mohamad atau lebih mesra disapa Tok Mat turun padang berjumpa orang ramai di Pasar Pekan Rantau di sini, selepas memenangi PRK DUN Rantau, kelmarin.
Ternyata kehadiran pemimpin itu dinanti-nantikan apabila ramai yang tidak mahu melepaskan peluang bergambar dengannya.
Saravana Naidu, 38, berkata, tiada calon lain yang lebih baik untuk menggantikan Tok Mat sebagai ADUN Rantau lebih-lebih lagi statusnya sebagai penduduk tempatan.
"Saya tak tahu kenapa orang tak mahu Tok Mat sebagai ADUN Rantau kerana sudah nyata beliau banyak berjasa. Kemenangannya malam tadi membuktikan ramai masih perlukannya.
"Masalahnya orang luar datang sini buat ‘kacau’. PH jangan sewenang-wenangnya memfitnah ‘bos’ kita. Rantau ini memang tempat Tok Mat. ‘Orang luar’ pergi luar,” katanya.
Katanya, rakyat tidak mahu lagi terpedaya dengan janji-janji manis PH seperti yang berlaku pada PRU14.
K.Jaya Chantheran, 43, pula berkata, penduduk Rantau sepatutnya bersyukur mendapat pemimpin seperti Tok Mat.
"Sebagai pengundi DUN Rantau, saya memang harap beliau terus ada di sini menjaga kami.
"Beliau bukan sahaja seorang bertanggungjawab, tapi berwibawa, berdidikasi dan menepati waktu, ” katanya ketika ditemui di Pasar Pekan Rantau, di sini, semalam.
Malah katanya, setiap hari Khamis, pejabat Timbalan Presiden UMNO itu pasti dipenuhi rakyat yang mahu bertemunya untuk mohon bantuan dan mengadu pelbagai masalah.
Menurutnya, sesiapa sahaja tanpa mengira kaum dan agama akan dibantu tanpa ada sebarang diskriminasi.
"Bukan saja bantuan kebajikan, nak bayar cukai kenderaan dan bil eletrik pun dia boleh bantu.Tapi bergantung juga jumlah amaunnya. Saya memang tak faham jika orang Rantau tak mahu lagi dia sebagai ADUN,” katanya.
Halimah Saleh, 67, pula berkata, kemenangan Tok Mat membuktikan penduduk DUN Rantau masih memerlukan bekas menteri besar itu sebagai wakil rakyat.
Malah penduduk Kampung Sri Lalang, Rantau itu menyifatkan pemimpin itu sebagai seorang yang berwibawa dan sangat mesra.
"Saya memang gembira Tok Mat menang. Saya tidak mengharapkan apa-apa, tengoklah nanti selepas ini macam mana.
"Cuma sebagai penduduk Rantau, bagi saya Tok Mat sudah beri yang terbaik,” katanya.