PENANTIAN selama 27 tahun bekas pemain Selangor untuk menikmati hadiah dijanjikan kerajaan negeri tercapai apabila setiap seorang memperoleh unit kediaman pangsapuri bernilai kira-kira RM250,000.
Malah, kediaman Pangsapuri Selangorku Idaman Abadi, Tropicana Heights di Kajang 2, Hulu Langat diperoleh 26 bekas pemain yang menjulang Piala Malaysia 1995 itu turut dilengkapi dengan kelengkapan perabot.
Menurut bekas tonggak tengah pasukan Selangor, Shahril Arsat, dia bersyukur walaupun sebenarnya pernah 'putus asa' apabila penantian dan segala penat lelah pemain pasukan itu menjulang nama Selangor terbayar.
"Tidak dinafikan dalam kelompok pasukan ini ada yang bernasib baik dan ada juga yang tidak bernasib baik dan ini adalah hasil titik peluh kami satu pasukan," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Beliau ditemui pada Majlis Cabutan Undian Unit dan Menandatangani Penjanjian Penyerahan Hartanah 26 Bekas Pemain Piala Malaysia 1955 Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini pada Khamis.
Majlis disempurnakan Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail.
Sementara itu, isteri kepada seorang lagi bekas penyerang Selangor, Allahyarham Anuar Abu Bakar, Siti Mariam Sathawee, 49, berkata, dia dan anak-anaknya lega selepas hasrat arwah tercapai apabila menerima ganjaran seperti yang dijanjikan.
"Lebih 26 tahun dah nak masuk 27 tahun kami tunggu dan dahulu ketika arwah masih hidup dia usahakan juga untuk mendapatkan (ganjaran) ini namun tidak tercapai dan tuntutan ini diteruskan rakan rakan arwah yang akhirnya berjaya dan kami sekeluarga bersyukur," katanya.
Sementara itu, Kapten Selangor menjulang Piala Malaysia 1995, Ismail Ibrahim pula mengakui hasil kerja secara berpasukan yang diterapkan sejak dahulu sehingga selepas bersara daripada sukan bola sepak akhirnya membuahkan hasil.
"Kami sama-sama usahakan dan masih bersama sehingga sekarang kerana kita tahu tidak semua pemain yang ada dalam pasukan ini menjalani kehidupan yang mudah, mungkin ada mereka yang memerlukan sesuatu.
"Walaupun mereka mungkin ada rumah tetapi untuk kesinambungan untuk kehidupan harian mungkin mereka memerlukan sesuatu seperti ini," katanya.