Gajah jantan bertindak agresif, 'serang' rumah penduduk

Iklan
(Gambar kiri) Tempat tinggal yang roboh akibat tindakan gajah jantan menceroboh Kampung Orang Asli Yong dekat Kuala Tahan pada Rabu. (Gambar kanan) Penduduk mengutip beras yang bertaburan akibat kejadian tersebut.

JERANTUT - Sebanyak 15 buah keluarga Orang Asli di Kampung Orang Asli Yong dekat Kuala Tahan di sini berdepan detik cemas selepas seekor gajah jantan bertindak agresif menceroboh kawasan tempat tinggal penduduk di sini pada awal pagi Rabu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, haiwan liar itu menolak dan menggoncang rumah penduduk menggunakan belalai menyebabkan penduduk terdiri suku Bateq bertempiaran menyelamatkan diri.

Iklan
Iklan

Seorang penduduk, Cangap Jusoh, 27, memberitahu, kejadian berlaku ketika kebanyakan penududuk sedang tidur.

"Ketika hampir melelapkan mata, tiba-tiba pondok kayu beratap bertam tempat tinggal saya mula bergoncang dan terdengar bunyi banyak benda yang jatuh ke lantai.

Iklan

"Saya bergegas bangkit dan meluru ke arah dapur, rupa-rupanya seekor gajah jantan sedang menolak dan menggoncang dinding dengan belalainya untuk cuba masuk mendapatkan makanan," katanya lagi.

Melihat kejadian itu, Cangap memberitahu dia segera keluar dari rumah menyelamatkan diri ke tempat selamat sambil menjerit meminta jirannya bangun.

Iklan

Tomok Ardi, 27, pula berkata, keadaan bertukar kelam-kabut apabila terdengar jeritan penduduk mengenai kehadiran gajah tersebut.

"Tiada ada jalan lain yang selamat, kami cuma berlari ke arah pinggir Sungai Tembeling dan berkumpul di kawasan lapang berdekatan tebing sungai sambil berwaspada kalau-kalau haiwan liar ini mengejar kami.

"Kami berjaga hingga ke pagi dan setelah hari siang barulah kembali semula ke kawasan kediaman dan mendapati beberapa buah pondok kayu tempat tinggal roboh dan barang makanan berselerak di tanah," jelas Tomok lagi.

Dalam pada itu, Tomok mendakwa, kejadian pencerobohan haiwan liar itu sudah berlaku lima kali sejak awal tahun ini.

"Namun kali ini antara yang paling dahsyat kerana melibatkan kerosakan pondok tempat tinggal dan makanan seperti beras," katanya.

Sementara itu, Penyelaras Nature Lifeguard, sukarelawan di bawah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Tahan, Roslan Abu Kassim memberitahu, kejadian pencerobohan gajah liar di perkampungan Orang Asli kerap kali berlaku sebelum ini.

Ujar Roslan, namun sejak kebelakangan ini, haiwan liar itu semakin agresif turut memusnahkan pondok tempat tinggal dan makanan.

"Dalam tempoh seminggu, ancaman gajah liar ini turut melibatkan penempatan Orang Asli Kampung Dedari, Kampung Yong, Kampung Teresek dan kelmarin cuba menceroboh Kampung Tabung tetapi tidak dapat masuk kerana berjaya dihalau penduduk.

"Kita berharap Jabatan Perlindungan Hidupan liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat memberikan kerjasama menangkap dan memindahkan haiwan liar itu ke pusat santuari di tempat lain untuk mengelakkan ancaman terhadap tempat tinggal, harta benda dan nyawa penduduk," kata beliau.

Sebelum ini, seorang wanita Orang Asli maut dipijak gajah di Kampung Simoi Baru Pos Betau dekat Kuala Lipis di sini pada awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa, Wak Angkat Yok Tong, 39, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.