KUALA LUMPUR - Seorang wanita tempatan ditahan kerana disyaki membakar helaian naskah al-Quran dalam kejadian di parkir sebuah premis di Jalan Ampang, di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu ditahan di tempat kejadian pada jam 2 pagi tadi.
"Motif kejadian masih belum jelas, namun siasatan awal mendapati suspek mengalami tekanan perasaan akibat masalah keluarga," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Noor Dellhan berkata, ujian urin mendapati suspek yang berusia 32 tahun tidak berada di bawah pengaruh alkohol ataupun dadah.
"Semakan rekod kesihatan juga mendapati suspek tiada rekod masalah mental.
"Suspek direman empat hari bermula Khamis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara (tidak bawa kad pengenalan)," ujar beliau.