'Bukan aksi sebenar Pearly, Thinaah'

Iklan
Thinaah (kiri) dan Pearly perlu memberi fokus kepada Terbuka Malaysia setelah terlepas slot separuh akhir Jelajah Dunia Akhir di Thailand pada Khamis. -Foto: FB BAM.

BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah gagal mempamerkan aksi sebenar mereka setelah terlepas slot separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF di Thailand.

Biarpun berbaki satu aksi, peluang buat pasangan nombor sembilan dunia itu untuk mara ke kelompok empat terbaik sudah tertutup.

Iklan
Iklan

Ia susulan kekalahan kedua berturut-turut mereka dalam saingan Kumpulan B apabila tewas di tangan juara dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan 13-21, 15-21 dalam aksi di Arena Nimibutr, Bangkok pada Khamis.

Justeru, gandingan negara itu digesa bangkit dengan memberi fokus untuk menjuarai saingan Terbuka Malaysia di Kuala Lumpur bulan depan.

Iklan

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky kecewa dengan persembahan Pearly-Thinaah pada kejohanan akhir musim itu kerana jauh berbeza berbanding ketika mereka mengungguli saingan Terbuka Perancis, Oktober lalu.

"Apapun, mereka perlu bangkit dan menetapkan sasaran untuk menjuarai saingan Terbuka Malaysia," ujar Rexy.

Iklan

Pearly-Thinaah pada Rabu tewas pada aksi pembukaan di tangan pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia 21-23, 19-21.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 akan melengkapkan saingan peringkat kumpulan menentang beregu nombor tujuh dunia dari China, Zhang Shu Xian-Zheng pada Jumaat.

Dalam pada itu, beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin kembali mengintai peluang untuk mara ke separuh akhir selepas menewaskan wakil Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho 21-17, 23-21 dalam aksi Kumpulan A.

Ee Yi-Yew Sin pada Rabu kalah aksi pembuka tirai kepada beregu nombor satu dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 19-21, 16-21.

Kemenangan pada Khamis membawa mereka kembali di landasan bagi memburu slot ke separuh akhir, namun wajib menang pada aksi terakhir kumpulan menentang pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto pada Jumaat.

"Semalam (Rabu) kami terlalu mengharapkan kemenangan dan ia memberi tekanan kepada kami. Jadi, hari ini (Khamis) kami cuba untuk tidak terlalu memberikan tekanan dan menikmati permainan. Kami gembira berjaya memenangi perlawanan.

"Kami tidak boleh meraikan kemenangan ini kerana masih ada satu lagi perlawanan penting dan mungkin beberapa perlawanan lagi jika kami menang esok (Jumaat) ada lagi dua perlawanan,” ujar Yew Sin.