Kenal pasti golongan layak terima sistem kupon: Cake

Iklan
Mohamad Yusrizal ketika meninjau minyak masak peket di sebuah kedai pada Rabu.

ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Kedah (Cake) mencadangkan kerajaan mengenal pasti golongan yang bakal menerima sistem kupon bagi minyak masak subsidi polibeg satu kilogram (1kg).

Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, cadangan kerajaan mengenai pemberian minyak masak peket secara sistem kupon adalah langkah yang baik dalam memastikan subsidi ini diberi secara bersasar.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, langkah itu dilihat mampu memastikan minyak masak sampai ke pengguna dan industri kecil dan sederhana (IKS) memerlukan serta mengelak ketirisan minyak masak itu diseludup ke negara luar.

"Jadi, Cake mencadangkan kerajaan mengenal pasti golongan yang bakal menerima kupon ini disebabkan permintaan terhadap minyak masak bersubsidi ini meningkat apabila harga minyak masak tiada subsidi makin meningkat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Beliau berpandangan ramai yang akan mendaftar untuk mendapatkan sistem kupon minyak masak peket sekiranya diminta untuk mendaftar terlebih dahulu bagi mendapatkan bahan masakan tersebut.

"Sehubungan itu, tapisan perlu dilakukan dilakukan secara teliti sebelum mengeluarkan kupon ini dengan penetapan beberapa kriteria seperti pengguna mempunyai pendapatan kurang dari RM4,000 dan miskin tegar yang mendaftar dengan mana-mana agensi layak mendapat kupon ini,"katanya.

Iklan

Menurut Mohamad Yusrizal, Cake turut berharap supaya tiada IKS yang ketinggalan untuk mendapatkan pemberian kupon ini.

"Bukan sahaja peniaga yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), peniaga yang tidak berdaftar dan didapati mereka telus menjalankan perniagaan IKS di kampung-kampung juga perlu diberikan kupon ini," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Cake berharap pemberian kupon itu perlu dipantau dari masa ke masa agar tiada pihak yang menyeleweng untuk tujuan perniagaan dan mendapatkan untung.

Menurutnya, kerajaan perlu mencari kaedah bagi menurunkan minyak masak tidak bersubsidi dalam memastikan kos sara hidup rakyat tidak terbeban.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan cadangan untuk melaksanakan sistem kupon bagi minyak masak subsidi kemasan polibeg satu kilogram (1kg) akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) minggu hadapan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sarah Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, langkah tersebut merupakan salah satu usaha bagi memastikan subsidi minyak masak dapat dinikmati oleh golongan B40 dan M40.