'Rakyat sampaikan mesej di Padang Serai'

Iklan
Ariffin

KUALA TERENGGANU - Kemenangan selesa calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Azman Nasrudin dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Padang Serai membuktikan mesej sebenar yang ingin disampaikan rakyat.

Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman berkata, kemenangan besar diperoleh pada PRU kali ini menunjukkan PN terus mendapat sokongan dan diminati rakyat.

Iklan
Iklan

"Dua pilihan raya (Padang Serai dan Tioman) amat penting kepada negara kerana ia merupakan indikator selepas pembentukan kerajaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut melantik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"Dengan majoriti 16,260 undi yang diperoleh ia membuktikan bahawa rakyat semakin menolak kerajaan yang ada. Walaupun di situ menjadi kubu kuat Pakatan Harapan (PH), kali ini ia tumbang dengan kekalahan yang sangat besar," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Iklan

Dalam pada itu, Ariffin mendakwa, hari pengundian yang ditetapkan pada Rabu merupakan strategi dirancang bagi mengelak perantau terutama yang bekerja di Lembah Klang untuk pulang mengundi.

"Ramai pengundi yang bekerja di Lembah Klang memberi sokongan kepada PN. Apabila diadakan pilihan raya pada hari Rabu, ramai pengundi luar khususnya pengundi muda tidak dapat pulang mengundi kerana bekerja.

Iklan

"Pada saya ia adalah strategi mudah yang dibuat oleh pihak tertentu supaya mereka tidak pulang mengundi. Ia adalah antara faktor peratusan mengundi rendah," kata beliau.

Dalam pilihan raya pada Rabu, Azman mendapat 51,637 undi menewaskan calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak yang mendapat 35,377 undi, Datuk C Sivaraj (BN – 2,983 undi), Sreanandha Rao (Bebas – 846), Hamzah Abd Rahman (Pejuang – 424) dan Mohd Bakhri Hashim (Warisan – 149).