Kekalahan hatrik: Musnahnya harapan rakyat kepada PH

Iklan

SHAH ALAM - Kekalahan PH sebanyak tiga kali berturut-turut dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dan terbaru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau menunjukkan kekecewaan rakyat terhadap kerajaan sekarang.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff berkata, kekecewaan rakyat berkisar kepada menteri yang tidak kompeten, dasarnya tidak jelas, kos hidup semakin meningkat dan tadbir urus yang lemah.

Iklan
Iklan

"Begitu juga dengan tindakan kerajaan hari ini. Jangan diulangi kesilapan kerajaan dahulu. Mengulanginya bererti membetulkan kata-kata oposisi (pembangkang) hari ini bahawa kerajaan PH adalah kerajaan sepenggal.

"Setelah PRK Rantau, rakyat menghantar mesej mudah: Musnahnya harapan mereka dengan kerajaan PH ini,” tulis beliau dalam laman Facebooknya.

Iklan

Dalam pada itu, penganalisis politik dari UKM, Dr Muhamad Nadzri Mohamed Nor berpendapat kesetiaan politik pada zaman kini tidak lagi tertumpu kepada parti, sebaliknya kepada prestasi dan kumpulan yang memahami keperluan mereka.

Menurutnya, sentimen semasa rakyat yang tidak positif terhadap PH juga menyebabkan parti itu kehilangan sokongan pengundi atas pagar yang menyumbang kepada kemenangan besar calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan di Rantau.

Iklan

"Isu semasa dan sentimen pengundi buat masa ini di Rantau dan banyak kawasan khasnya di Semenanjung, tidak begitu memihak kepada PH dalam beberapa isu penting.

"Sesetengah rakyat melihat, pemerintahan PH setakat ini tidak banyak berbeza dengan kerajaan lama meskipun telah ada beberapa tindakan pembetulan dilakukan oleh kerajaan semasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, kemenangan hatrik BN merupakan satu lagi isyarat kepada PH untuk lebih serius dalam merencana pembangunan sosio-ekonomi negara.

"Perancangan itu perlulah bertunjangkan rakyat dan modal insan berbanding dasar-dasar pro-kapitalis dan projek mega.

"Ia juga menuntut PH lebih sensitif dalam pengurusan politik, nilai dan masyarakat Malaysia,” katanya.

Kelmarin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Mohamad mempertahankan kerusi DUN Rantau selepas menewaskan tiga lagi lawannya, Dr S Streram dari PH dan dua calon Bebas, Mohd Nor Yassin dan R Malarvizhi.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menang dengan majoriti 4,510 undi selepas memperoleh 10,397 undi sementara Dr Streram mendapat 5,887 undi; Mohd Nor dengan 79 undi dan Malarvizhi memperoleh 83 undi.