KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Rabu bagi dua kerusi tertangguh pelaksanaannya iaitu Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, menyaksikan tsunami hijau Perikatan Nasional (PN) yang berlaku pada 19 November lalu terus membadai.
Paling tidak disangka, Parlimen Padang Serai yang merupakan kubu kuat Pakatan Harapan (PH), yang kali pertama dimenangi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU12, akhirnya menjadi mangsa badai tsunami PN di utara.
Datuk Azman Nasrudin yang mewakili PN menang dengan majoriti besar iaitu 16,260 undi mengatasi Dr Mohamad Sofee Razak daripada PH.
Pada PRU12, PKR yang bertanding atas koalisi Pakatan Rakyat (PR) menang dengan majoriti 11,738 undi; PRU13 (8,437 undi); manakala pada PRU14 melalui koalisi PH, meraih majoriti 8,813 undi.
Sebelum itu, pada kemuncak PRU15 lalu, Parlimen Permatang Pauh, kerusi tradisi buat keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 40 tahun lalu turut menjadi mangsa gelombang yang sama.
Kerusi yang ditandingi Nurul Izzah Anwar, kecundang selepas Puteri Reformasi itu tewas kepada Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mat Jan yang meraih 37,638 undi.
Cuma di peringkat DUN Tioman di Pahang, kerjasama PH dan Barisan Nasional (BN) membuahkan hasil dengan kemenangan Datuk Seri Mohd Johari Hussain biarpun hanya meraih majoriti tipis 573 undi, kesan daripada gelombang yang dicetuskan oleh gabungan parti Bersatu dengan Pas.
Biarpun kini sudah lengkap 222 kerusi Parlimen, keputusan dua kerusi berkenaan ternyata memberi sedikit kegusaran buat Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar yang terbentuk hasil perpaduan beberapa koalisi politik antaranya dengan BN.
Pun begitu, ramai pemerhati politik melihat keputusan Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman itu tidak boleh dijadikan sebagai kayu ukur ujian pertama melibatkan kerjasama antara PH-BN.
Sebaliknya ujian sebenar adalah melibatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di mana PH perlu mengekalkan pemerintahan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan serta berusaha merampas Kelantan, Terengganu dan Kedah daripada Pas walaupun berdepan misi yang sukar.