PUTRAJAYA - Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa meluahkan isi hati tersirat dipercayai berhubung pemecatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Ketereh dan ahli parti.
Menerusi laman Facebooknya pada pagi Jumaat, Annuar berkata, beliau kini hanya mampu melihat sebuah rumah pusaka yang terbakar.
Menurutnya, ramai penghuni telah melarikan diri meninggalkan rumah yang terbakar atau dibakar.
Annuar berkata, meskipun mempunyai rasa sangat sayang terhadap rumah tersebut, beliau hanya mampu berdoa.
"Ya ALLAH SWT kepada Mu aku berserah dan kepada Mu jua aku meminta pertolongan. Kau selamatkanlah 'rumah' yang sedang terbakar itu... Amin ya Rabb," tulisnya.
Terdahulu, Annuar antara tiga pemimpin parti dilapor dipecat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam Jumaat.
Annuar sebelum ini dilihat lantang mengkritik pemimpin parti sehingga beliau digugurkan daripada jawatan Setiausaha Agung BN pada Januari 2021.
Kelantangan Annuar juga dipercayai antara faktor beliau tidak dicalonkan untuk kerusi Parlimen Ketereh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.