Muhyiddin sahkan ada permintaan Bersatu masuk Sabah

Iklan
Muhyiddin - Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan terdapat permintaan untuk parti itu melebarkan sayap ke Sabah susulan tindakan 14 wakil rakyat dan pemimpin kanan Umno negeri itu yang bertindak keluar parti.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata ia bagaimanapun bergantung kepada beberapa perkara yang memerlukan pertimbangan dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan komponen PH di negeri bawah bayu itu.

Iklan
Iklan

"Yang penting kita tidak mahu timbul pertembungan daripada segi kepentingan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan Yayasan Golf Amal Tan Sri Muhyiddin Yassin Kuala Lumpur (TSMCG) kepada 10 badan amal, di sini hari ini.

Umno Sabah dilaporkan lumpuh apabila Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor bersama sekumpulan wakil rakyat dan ketua bahagian meninggalkan parti itu untuk menjadi anggota politik bebas.

Iklan

Tindakan keluar parti yang berkuat kuasa hari ini melibatkan lima anggota Parlimen, sembilan Adun dan dua senator, menurut Hajiji yang juga Ketua Umno Tuaran.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menyifatkan perkembangan baharu itu sesuatu yang baik untuk PH, khususnya apabila kesemua yang keluar parti itu menyatakan sokongan kepada parti gabungan itu.

Iklan

Terdahulu, Muhyiddin menyerahkan cek replika (mock cheque) sumbangan daripada TSMTG berjumlah RM100,000 kepada wakil 10 badan amal.

Antaranya Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia, Pusat Jagaan Titian OKU Normah Adlan, Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas dan Pusat Kebajikan Singh Malaysia. - Bernama