Mengejar barakah: Bayar kos penuh haji walaupun layak subsidi

Iklan
Noor Shuhana (kiri) bergambar bersama jemaah wanita dari Malaysia selepas selesai wukuf di Arafah.

Noor Shuhana (kiri) bergambar bersama jemaah wanita dari Malaysia selepas selesai wukuf di Arafah.


SHAH ALAM - Diuji dengan kehadiran dua anak istimewa tidak sedikit pun membuatkan guru Kimia ini mengeluh atau hanya berserah pada takdir.

Meskipun berat bebanan hidup, tetapi Noor Shuhana Ibrahim, 41, masih mampu memenuhi tuntutan menunaikan rukun Islam yang kelima.

Iklan
Iklan

Atas kesedaran bahawa hukum dan syarat menunaikan ibadat haji, Noor Shuhana dan pasangannya membayar kos haji secara penuh walaupun mendapat tawaran hanya membayar RM10,980 seorang memandangkan beliau tergolong dalam kumpulan B40.

Ibu kepada empat cahaya mata itu sanggup berkorban mengambil cuti tanpa gaji selama lima tahun sejak 2018 untuk memastikan anak-anaknya mendapat rawatan dan terapi seperti yang disarankan doktor.

Iklan

Anak sulungnya, Wafiq Afzarizal, 14, menghidap autisme, sawan dan kelewatan pertuturan, manakala anak bongsunya Zahiyah yang berusia empat tahun turut mengalami masalah lambat bercakap.

Noor Shuhana dari Ketereh, Kelantan berkata, cahaya mata pertamanya di diagnosis menghidap tiga penyakit itu ketika berusia tiga tahun.

Iklan

"Sejak dapat tahu Wafiq sakit, saya kerap ambil sehari dua cuti untuk jaga serta bawanya buat terapi. Tapi kerana saya masih terikat dengan kerja, jadi sesi terapinya tak konsisten.

"Adakala kami terpaksa panggil juruterapi datang ke rumah. Memikirkan kesukaran ini, saya putuskan untuk ambil cuti tanpa gaji. Biarlah saya tak ada gaji, asalkan anak dapat dirawat dari awal," katanya kepada Sinar Harian.

NOOR SHUHANA

Selain berkorban tenaga dan masa, wang ringgit yang dibelanjakan untuk sesi terapi dua anaknya itu juga mencecah RM1,200 sebulan bagi setiap anaknya.

Pengorbanan yang dilakukan itu ternyata tidak sia-sia apabila anak sulungnya menunjukkan perkembangan positif, tidak perlu ditempatkan di sekolah berkeperluan khas dan kini berada di tingkatan satu sekolah swasta.

"Dugaan ini sebenarnya banyak mengajar saya dan suami untuk sentiasa bersyukur kerana apabila bercampur dengan ibu bapa lain yang senasib, ada antara mereka yang hadapi ujian lebih getir. Ada yang lebih susah.

"Saya dan suami, Azfarizal Ahmad Zaki, 41, juga bukan datang daripada keluarga senang. Bapa saya dan suami cuma anggota polis biasa, jadi kami biasa hidup susah," luahnya.

Di sebalik ujian yang diharungi, Noor Shuhana dan suaminya berpeluang menunaikan ibadah haji pada Julai lalu.

Mereka menunaikan ibadah itu dengan membayar kos haji secara penuh iaitu sebanyak RM25,540 merangkumi kos penerbangan, penginapan, pengangkutan bas, khemah di Arafah dan Mina serta makan dan minum.

Menurut Noor Shuhana, ibu bapanya mula membuka akaun simpanan TH untuknya sejak di bangku sekolah rendah lagi dan selepas mula bekerja, beliau melakukan potongan gaji secara terus ke dalam akaun simpanannya.

"Apabila saya mula bekerja sebagai guru serta dihantar bertugas ke Sabah dan Sarawak, saya tambah dalam akaun TH melalui potongan gaji setiap bulan.

"Kalau dapat bonus, saya tak guna sebaliknya terus masukkannya ke dalam akaun TH," jelasnya.

Asuhan dari kecil dan pengalaman hidup susah mendorong pasangan itu nekad untuk tidak memohon subsidi bagi kos menunaikan haji walaupun wang simpanannya belum cukup.

"Suami tambah sedikit wang simpanannya ke dalam akaun TH saya. Kami ambil keputusan itu untuk mudahkan orang lain yang lebih susah supaya dapat rasa subsidi. Kami yakin urusan kami pula akan dipermudahkan," tambahnya lagi.

Sifat ibu dan ayah jadi ikutan

Raja Sulaiman bersama isteri ketika menunaikan ibadah haji pada Julai lalu.


Sementara itu, sifat arwah ibu dan bapa yang suka menderma dan membantu masyarakat membentuk diri seorang pesara pensyarah untuk sentiasa membantu orang lain terutama di waktu memerlukan.

Raja Sulaiman Raja Lope Ahmad, 60, memberitahu, sejak kecil, beliau melihat arwah ibu, Wan Teh Kamariah Wan Mohd Salleh sangat suka bersedekah dan arwah bapa, Raja Lope Ahmad Raja Mohd Ali yang juga pengerusi masjid gemar membantu orang.

Didikan sama turut diterapkan kepada tujuh anak-anaknya yang berusia 18 hingga 37 tahun. Berkat asuhan itu kesemua anak-anaknya berjaya dalam bidang masing-masing iaitu jurutera, doktor gigi dan ahli farmasi.

Raja Sulaiman dari Arau, Perlis juga selesai mengerjakan rukun Islam kelima di bawah TH pada musim haji lalu tanpa menggunakan subsidi dan hanya menggunakan wang simpanannya.

RAJA SULAIMAN

Menurutnya, wang simpanan itu hasil potongan gaji yang dibuat sejak mula mengajar jurusan Matematik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau pada 1990.

"Waktu itu, gaji yang dipotong setiap bulan sekitar RM200 dan jumlah potongan bertambah bila gaji makin naik.

"Alhamdulillah, hasil duit gaji yang terkumpul ini dan sedikit tambahan wang pencen saya dapat menunaikan haji tahun ini," jelas beliau.

Beliau menunaikan haji bersama isterinya, Zuraida Ibrahim, 60, yang juga seorang suri rumah sepenuh masa.

Jelasnya, walaupun kos haji tanpa subsidi agak tinggi namun keadaan kewangannya masih stabil selepas pulang ke tanah air.

Apa yang penting baginya, pengalaman mengerjakan haji menggunakan wang titik peluh sendiri adalah satu nikmat dan kepuasan yang berbeza.

"Bagi yang ada kemampuan, eloklah tunaikan haji guna duit sendiri sepenuhnya kerana ia lebih afdal. Biarlah subsidi yang disediakan TH digunakan untuk membantu bakal jemaah yang lebih berhak dan memerlukan," ujarnya.