Bung Moktar, Zizie tetap kena bela diri tuduhan rasuah

Iklan
Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Bernama.

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad pada Jumaat gagal dalam permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Ia berikutan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid yang membenarkan bantahan awal oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How terhadap permohonan pasangan suami isteri itu selaku pemohon.

Iklan
Iklan

"Setelah meneliti hujahan pihak-pihak terlibat, saya bersetuju dengan hujahan dikemukakan responden (pendakwaan). Oleh itu, bantahan awal dibenarkan dan notis usul kedua-dua pemohon ditolak," kata Azhar.

Dalam prosiding sebelum ini, Chin How memaklumkan kepada mahkamah bantahan awal itu dikemukakan atas alasan permohonan tersebut tidak sepatutnya difailkan melalui notis usul.

Iklan

Katanya, kaedah pemfailan notis usul yang dibuat oleh pasangan itu adalah salah dan bertentangan dengan Seksyen 35 dan 36 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dibaca bersama Seksyen 325 dan 326 Kanun Tatacara Jenayah.

Bung Moktar dan isterinya memfailkan permohonan secara berasingan pada 19 September lepas antara lain memohon Mahkamah Tinggi memanggil serta memeriksa rekod prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen yang mendengar dan memutuskan agar mereka membela diri terhadap pertuduhan rasuah serta bersubahat.

Mereka memohon Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan dibuat Mahkamah Sesyen pada 2 September lepas, atas alasan hakim yang mendengar perbicaraan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan bahawa pemohon menerima suapan daripada dua ejen pelaburan, yang merupakan saksi utama dalam kes itu.

Iklan

Mahkamah Sesyen sebelum ini menetapkan 3 Januari, 9 hingga 13 Januari 2023 untuk prosiding bela diri.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen Public Mutual iaitu Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Sementara itu, peguam Datuk K. Kumaraendran memberitahu pemberita, pasangan itu akan merayu terhadap keputusan hari ini. - Bernama.