'Miliki dua rahim bukan bebanan tapi anugerah'

Iklan
Nur Hasmidah bersama suami, Ahmad Bakaruddin dan bayi mereka, Nur Aleesa yang berusia setahun lapan bulan.

KUALA TERENGGANU - Wanita yang memiliki dua rahim nekad mengetepikan komentar negatif yang dilontarkan selepas memutuskan untuk berkongsi kisah mengenai kelainan fizikalnya di media sosial.

Nur Hasmidah Hamzah, 31, berkata, niatnya berkongsi keadaan peribadi kepada umum menerusi TikTok sejak Selasa lalu kerana mahu menyuntik inspirasi kepada wanita senasib dan dalam masa sama menyampaikan pengetahuan kepada umum.

Iklan
Iklan

Anak bongsu daripada empat beradik itu juga tidak menganggap gangguan kongenital bicornuate bicollis yang dialami sebagai bebanan atau 'penghinaan' terhadap kaum wanita, sebaliknya menyifatkan ia sebagai anugerah daripada ALLAH SWT.

"Saya dapat tahu saya miliki dua rahim sebelum berkahwin lagi iaitu selepas menjalani imbasan di sebuah klinik swasta di Shah Alam pada 2013.

Iklan

"Waktu itu saya hairan kerana sudah lama mengalami haid dua kali sebulan sejak di Tingkatan Dua serta mengalami kesakitan luar biasa sepanjang tempoh haid dan warna darah yang keluar juga kehitaman," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Khamis.

Nur Hasmidah mendirikan rumah tangga bersama suami, Ahmad Bakaruddin Mohamed@ Ismail, 28, pada Julai 2020 selepas tiga tahun mengenali antara satu sama lain.

Iklan

"Selepas kahwin, saya agak ragu-ragu untuk memberitahu suami penyakit yang saya alami kerana bimbang penerimaan suami terhadap kelainan yang ada pada diri saya.

"Tambahan pula, saya juga tidak yakin pada diri sendiri sama ada saya mampu melahirkan zuriat atau tidak dalam keadaan diri saya yang sebegini.

"Namun, saya bersyukur dengan kuasa ALLAH SWT, saya disahkan hamil tidak lama selepas berkahwin dan suami juga ikhlas menerima keadaan saya seadanya," katanya yang hanya bergantung kepada satu buah pinggang.

Nur Hamizah berkata, dia disahkan mengalami bicornuate bicollis iaitu memiliki dua rahim, dua serviks serta dua saluran vagina selepas melakukan imbasan Magnetic Resonance Imaging (MRI) di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah pada 15 Jun 2021.

Katanya, dia menjalani MRI selepas melahirkan bayi sulung secara normal pada 26 April 2021.

"Bagaimanapun, proses ketika melahirkan bayi sulung begitu mencabar dan memakan masa. Ketika itu, doktor yang menyambut kelahiran berasa pelik dengan keadaan rahim saya dan menyarankan supaya saya membuat MRI.

"Selepas jalani MRI itu baru saya tahu keadaan diri saya dengan lebih terperinci dan dapat tahu yang saya hanya ada satu buah pinggang," jelas anak kelahiran Pendang, Kedah itu.

Menurut Nur Hasmidah, selepas berkongsi keadaan diri di media sosial, ramai wanita turut tampil berkongsi kisah yang serupa.

"Saya sebenarnya terkejut juga sebab rupa-rupanya ramai juga yang senasib dengan saya dan ramai juga yang sebenarnya tidak tahu bahawa keadaan itu boleh juga berlaku terhadap golongan wanita.

"Ada juga yang berkongsi kisah masih belum dikurniakan zuriat setelah bertahun-tahun mendirikan rumah tangga.

"Saya harap dengan perkongsian saya ia sedikit sebanyak dapat memberikan suntikan semangat kepada mereka yang senasib supaya tidak berhenti berikhtiar dan terus berdoa. Tiada yang mustahil dengan kuasa ALLAH SWT," ujarnya.

Nur Hasmidah memberitahu, niat dia mengetengahkan kisah peribadinya itu supaya tiada lagi sikap sinis sesetengah pihak terhadap wanita atau pasangan yang masih belum dikurniakan zuriat walaupun sudah lama berkahwin.

"Pelbagai kemungkinan atau faktor boleh berlaku menyebabkan pasangan itu belum dikurniakan zuriat. Siapa kita untuk mempersoalkan takdir. Pokok pangkalnya semua berbalik kepada rezeki daripada ALLAH SWT," katanya.