SERDANG - Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menyasarkan membuka 16 outlet Gloria Jean's pada tahun hadapan dengan memperbanyakkan pembukaan di kompleks membeli-belah.
Pengerusinya, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, Pernas melalui anak syarikatnya, Wonderful Lifestyle Sdn Bhd (WLSB) memperuntukkan RM8 juta bagi tujuan tersebut.
"Saya percaya lebih ramai usahawan dapat dilahirkan dengan sistem francais ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan cawangan baharu Gloria Jean's di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) dekat sini pada Jumaat.
Menurut Hasni, Pernas selaku agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sebelum
dipertanggungjawab ini untuk membangunkan industri francais.
"Dengan kerjasama My Franchise Association (MFA), kita harap peruntukan pembangunan yang pada waktu ini di bawah kelola Kementerian Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN) dapat dipindahkan ke KUSKOP," katanya.
Ini kerana ujar beliau, Pernas tidak hanya menyediakan latihan dan bimbingan tetapi juga pembangunan francais secara keseluruhan.
"Jadi untuk tujuan itu kita akan mengemukakan permohonan ke pihak kementerian untuk membolehkan geran pembangunan dapat diurus oleh Pernas," katanya.
Dalam pada itu, Hasni menyatakan komitmen untuk membantu bakal-bakal francaisor dan francaisi agar lebih ramai usahawan dilahirkan.
Tambahnya, budaya minum kopi yang semakin meluas di kalangan masyarakat perlu diteliti secara kritis.
"Usahawan perlu bijak mengambil peluang sekali gus merancakkan lagi industri kopi premium negara seiring dengan usaha meningkatkan taraf ekonomi masyarakat," katanya.
Rangkaian outlet Gloria Jean's di HPUPM merupakan merupakan cawangan ke-44 dan dimiliki oleh Four Miles Sdn Bhd.
Pernas menyediakan skim pinjaman pembiayaan sehingga 70 peratus untuk bakal usahawan yang baharu.