DOSM perlu bantu kerajaan buat keputusan: Rafizi

Iklan
Rafizi

PUTRAJAYA - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) perlu memperkasakan peranan sebagai peneraju perkhidmatan statistik negara bagi membolehkan jabatan itu membantu kerajaan membuat keputusan dengan tepat dan cepat kepada golongan sasar, kata Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli.

Mohd Rafizi berkata, secara peribadi beliau melihat DOSM memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan untuk menyediakan peluang lebih baik kepada rakyat berdasarkan data yang dikumpul jabatan itu daripada pelbagai sumber.

Iklan
Iklan

"Kalau diizinkan Allah dan dengan kerjasama semua, saya harap dalam tempoh lima tahun ini, kita akan berjaya angkat peranan data dan statistik sebagai ‘pusat saraf untuk membuat keputusan kerajaan’. DOSM perlu lakukan transformasi walaupun ia bukan sesuatu yang mudah.

"Perkhidmatan DOSM ini adalah penting kerana ia jadi sebahagian daripada usaha untuk bantu rakyat dari segi peluang pekerjaan malah kerajaan dapat sampaikan bantuan kepada golongan yang tepat (berdasarkan data dari DOSM),” katanya ketika menyampaikan amanat pada majlis Perhimpunan Bersama Warga DOSM yang disiarkan secara langsung di laman Facebook jabatan itu pada Jumaat.

Iklan

Mohd Rafizi berkata, beliau berharap dapat melihat kejayaan sasaran itu dalam usaha mengangkat peranan DOSM dalam masa lima tahun akan datang.

Katanya, statistik adalah sangat relevan kerana kerajaan memerlukan lebih banyak data sebagai mekanisme membuat keputusan.

Iklan

"Data adalah emas...mana-mana organisasi khususnya agensi kerajaan memerlukan data untuk membuat keputusan, kalau data tidak berada pada tahap atau kehendak yang diperlukan maka akan ada kesan besar pada keseluruhan keberkesanan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, peredaran masa dan perkembangan teknologi menuntut sesebuah organisasi untuk melakukan transformasi bagi membolehkan penghasilan data yang lengkap dan tepat.

"Dunia berubah dan sebahagian besar keputusan boleh diramal dengan ketepatan pada peratusan yang betul dan bolehkan negara untuk meramal dengan tepat,” katanya.

Mohd Rafizi berkata, kerjaya sebagai penganalisis data adalah profesion yang penting dalam sesebuah negara dalam penghasilan maklumat sekali gus membantu kerajaan memahami keperluan semasa dan masa hadapan. - Bernama.