KUANTAN - Seorang kerani berputih mata selepas wang miliknya sebanyak RM2,500 lesap akibat diperdaya seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai bank pada Selasa lalu.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 27, berkata, wang itu dipindahkan selepas dimaklumkan pinjamannya telah diluluskan dan terdapat kemasukan wang RM10,000 ke dalam akaun miliknya.
Bagaimanapun katanya, selepas membuat pemeriksaan secara terperinci di sebuah bank di daerah ini mendapati wang itu tiada dalam akaunnya.
"Susulan itu, saya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Khamis selepas dimaklumkan oleh pegawai bank bahawa wang RM10,000 tiada dalam akaun saya.
"Selain itu, saya turut membuat laporan kepada pihak bank bagi menyekat akaun individu yang mengaku sebagai pegawai bank dan berharap wang yang sudah dipindahkan dapat diperoleh semula," katanya ketika mengadakan sidang akhbar di Pejabat Khidmat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuan.
Bercerita lanjut kejadian itu, ibu kepada dua anak itu memaklumkan ada membuat permohonan pinjaman di sebuah bank pada Khamis minggu lalu, namun pada Isnin, pihak bank memaklumkan pinjamannya tidak lulus.
Lee berkata, bagaimanapun pada Selasa, dia menerima panggilan telefon memaklumkan permohonan pinjamannya lulus dan wang sebanyak RM10,000 telah dimasukkan ke dalam satu lagi akaun bank miliknya.
"Pegawai bank itu menghubungi saya melalui aplikasi WhatsApp memaklumkan pinjaman saya telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik saya yang berbeza dengan bank pinjaman saya mohon.
"Bagaimanapun wang pinjaman tersebut berada dalam keadaan floating (terapung) kerana masalah CTOS dan pegawai bank terbabit meminta saya memasukkan wang sebanyak RM2,500 ke dalam akaun miliknya bagi tujuan membersihkan nama saya," katanya.
Lee menambah, pegawai bank itu kemudian memintanya memasukkan lagi wang sebanyak RM2,000 kerana mata untuk pinjaman dikatakan tidak cantik.
"Pada ketika itu, saya tidak dapat masukkan lagi RM2,000 kerana telah mencapai limit pemindahan wang. Namun, saya mula rasa pelik lalu membuat pemeriksaan di akaun bank saya dan mendapati wang pinjaman saya tiada,” ujarnya yang tidak sempat melakukan pemindahan kali kedua.
Sementara itu, Chun Kuan berharap kejadian yang menimpa Lee dapat dijadikan pengajaran kepada orang lain.
"Saya harap orang ramai dapat berhati-hati dalam melakukan urusan bank. Jika terdapat perkara yang meragukan segera mendapatkan nasihat daripada pihak bank selain tidak mudah terpedaya atau percaya kepada apa juga urusan yang dilakukan melalui telefon,” katanya.