PENYERANG sensasi, Harry Kane di ambang untuk melakar nama sebagai penjaring terbanyak buat England menjelang sepak mula Three Lions menentang Perancis dalam saingan suku akhir Piala Dunia Qatar 2022 pada Ahad.
Bagaimanapun kapten England itu enggan memikirkan perkara itu, tetapi mahu pergi lebih jauh bersedia untuk menukar sejarah dengan peluang memimpin negaranya menjulang Piala Dunia.
Kane dan England berada di laluan terbaik apabila akan turun menentang juara dunia Perancis di Stadium Al Bayt dengan dibezakan satu gol di belakang pemenang rekod Three Lions, Wayne Rooney.
Pemain berusia 29 tahun itu menjaringkan gol buat kali pertama di Piala Dunia Qatar ketika mereka menang 3-0 ke atas Senegal pada aksi 16 terakhir Ahad lalu menjadikan jumlah gol England dalam kariernya kepada 52 jaringan.
Kane akan turut mengatasi rekod Gary Lineker sebagai penjaring terbanyak sepanjang masa England di kejohanan utama dengan 11 gol.
Pengendali England, Gareth Southgate lega dengan prestasi semasa Kane itu.
"Mana-mana penyerang tengah mahu mencatatkan sesuatu dan sudah tentu baginya ia mahu menghentikan semua persoalan.
"Pernah memenangi Kasut Emas pada Piala Dunia 2018 dengan enam gol dalam perjalanan England ke separuh akhir, Kane sudah mengetahui betapa dia bernilai kepada pasukan,” ujar Southgate.
Kematangan dan sifat tidak mementingkan diri Kane penting untuk kejayaan England kerana dia memainkan peranan membantu rakan sepasukan seperti Phil Foden dan Bukayo Saka untuk menyinar.
Hantaran tepat Kane ketika membantu Bellingham membolehkan pemain remaja itu memberi bantuan untuk gol pembukaan Jordan Henderson ketika menentang Senegal.
"Saya fikir dia mula mencari lebih banyak ruang pada separuh masa kedua dan permainannya juga lebih baik jadi ia penting untuk dia dan kami,” kata Southgate.