KUALA LUMPUR - Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) buat julung kalinya tampil menganjurkan Program Titih Pusaka Seni Aswara 2022 yang bakal berlangsung selama dua hari bermula Sabtu ini.
Dekan Fakulti Pengurusan Seni Budaya dan Warisan Aswara, Dr Zulkifli Ab Rashid berkata, program itu diadakan bertujuan menggabungkan dan mempromosikan elemen pendidikan, pelancongan, hiburan dan penjanaan ekonomi yang berteraskan seni, budaya serta warisan negara.
"Titih pusaka bermaksud amanah atau pesanan daripada orang tua terdahulu, juga disebut sebagai adiguru dalam bidang seni dan budaya yang harus kita teruskan pada hari ini.
"Ia seolah-olah mereka (adiguru) memberi amanat kepada generasi ke generasi supaya jangan meninggalkan seni budaya.
"Itulah makna titih pusaka itu sendiri. Kalau kita tidak mendengar amanat ini, bermakna kita melupakan warisan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, antara pengisian program yang diadakan di Taman Tasik Metropolitan, Kepong, Kuala Lumpur itu termasuk pameran dan demonstrasi seni, menitih ilmu adiguru, jualan produk seni dan persembahan artis terkenal tanah air seperti Datuk Jamal Abdillah, kumpulan Floor 88, Iqwan Aliff serta dua band remaja yang sedang meningkat naik iaitu Cherpen Band dan Caramelt Band.
Ujarnya, berbeza dengan program lain, Titih Pusaka Seni Aswara 2022 cuba menampilkan keistimewaan dengan membawa lima orang adiguru yang bertauliah dan hebat dalam lapangan seni masing-masing untuk hadir berkongsi ilmu.
"Menitih ialah satu sesi berguru secara berdepan dengan adiguru yang ada di Aswara ini melibatkan guru yang berpengalaman dalam seni makyung, wayang kulit, gamelan dan falsafah.
"Kami membuka peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk datang menimba ilmu secara langsung dengan adiguru yang kesemuanya berusia 60 tahun ke atas.
"Selain itu, kita juga bekerjasama dengan Pertubuhan Nobat Malaysia yang mengangkat martabat pemakaian busana dan silat untuk membawa seramai mungkin pemakai busana termasuk pemanah yang akan hadir dengan mengenakan pakaian warisan kita,” jelasnya.
Menurut Zulkifli, idea bagi melaksanakan program tersebut telah dizahirkan oleh beliau sejak tahun 2019 lagi, namun terpaksa ditunda akibat penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara.
"Saya telah menghantar kertas kerja kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk melaksanakan program ini pada tahun 2020, tetapi malangnya negara kita berdepan dengan Covid-19, jadi tidak boleh buat.
"Tahun Oktober 2021 pula kita buat secara dalam talian di Facebook dan Youtube sahaja, tetapi kontennya terhad dan tidak terlalu besar,” ujarnya.
Beliau memberitahu, pihaknya bermatlamat untuk menjadikan Titih Pusaka Seni Aswara sebagai acara tahunan bagi menghimpunkan semua penggiat dan peminat seni budaya dan warisan tanah air.
Zulkifli dalam masa sama turut berhasrat meletakkan Aswara sebagai peneraju bagi menggerakkan program seperti ini supaya penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara datang berkampung di sini.
"Insya-ALLAH kita mengangkat idea ini kepada MOTAC untuk menjadikan program ini sebagai acara tahunan.
"Saya ingin menjadikan Aswara sebagai peneraju yang menyediakan platform kepada semua universiti yang menyediakan jurusan seni dan warisan di Malaysia untuk menjadi medan berkumpul dan mempamerkan bakat masing-masing.
"Saya percaya platform ini akan menjadi ruang untuk mengumpulkan para akademik, pelajar bidang seni dan budaya untuk berkampung di bawah program Titih Pusaka Seni Aswara,” kata beliau.