Imigresen nafi berlaku penindasan tahanan di Sabah

Iklan
Tangkap layar daripada video tular menunjukkan seorang lelaki mendakwa sebagai tahanan di sebuah depot dan mendakwa kurus disebabkan kurang makan dan tidak menerima layanan yang sewajarnya.
KOTA KINABALU - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen Malaysia) Sabah tampil menafikan berlakunya penindasan terhadap tahanan di Depot Imigresen Sabah seperti didakwa dalam sebuah rakaman video yang tular baru-baru ini.

Pengarah Imigresen Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yusof menjelaskan bahawa penahanan serta pengurusan tahanan adalah selaras dengan peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen (Pentadbiran Dan Pengurusan Depot Imigresen) 2003.

"Kesemua tahanan yang ditahan adalah dipastikan mendapat layanan dan pengurusan yang sewajarnya, baik dari segi bekalan makanan mahupun rawatan perubatan.

Tambah beliau, perlu dimaklumkan bahawa sebahagian besar tahanan di depot adalah mereka yang telah selesai menjalani hukuman berdasarkan peruntukan undang-undang negara ini kerana terlibat dengan pelbagai aktiviti tidak sihat.

"Tahanan-tahanan ini kemudiannya telah diserahkan kepada Imigresen Malaysia Sabah setelah tamat menjalani hukuman bagi tujuan penghantaran atau pemindahan balik ke negara asal.

"Depot Imigresen juga adalah merupakan tempat untuk menahan warga asing bagi tujuan siasatan dan untuk menentukan status kewarganegaraan sebenar mereka sebelum dihantar balik atau dipindahkan ke negara asal.

"Proses penghantaran atau pemindahan balik ini hanya akan dapat dilakukan setelah mendapat pengesahan daripada pihak kedutaan negara masing-masing.

"Sebaik mendapat pengesahan, pihak kedutaan akan mengeluarkan dokumen perjalanan berkaitan (Travel Document bagi warga Filipina atau Sijil Perjalanan Laksana Pasport bagi warga Indonesia) sebagai perakuan meraka adalah warganegara terlibat," katanya.

Sharifah Sitti Saleha berkata lagi, pada 2022 penghantaran balik atau pemindahan ke negara asal bagi tahanan warga Filipina yang ditahan di Depot Imigresen Sabah hanya bermula pada 6 September lalu disebabkan faktor penutupan pintu masuk di Filipina terutama Pelabuhan Zamboanga akibat pendemik Covid-19.

"Setakat 9 Disember 2022, Imigresen Malaysia Sabah telah menghantar balik atau memindahkan seramai 3,004 tahanan warga Filipina, 2,166 tahanan warga Indonesia dan 224 tahanan lain-lain warganegara menjadikan keseluruhan adalah seramai 5,394 tahanan yang telah selesai menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan dan mendapat pengesahan daripada kedutaan masing-masing," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan apa-apa juga bahan di mana-mana platform bagi mengelakkan sebarang spekulasi dan provokasi sehingga menjejaskan tugas-tugas Imigresen Malaysia Sabah serta menggugat ketenteraman awam.