Kian Meng-Pei Jing raih slot separuh akhir Jelajah Dunia

Iklan
Kian Meng (kiri) dan Pei Jing menempah slot separuh akhir kejohanan Jelajah Dunia Akhir di Thailand pada Jumaat. - Foto FB BAM

BEREGU campuran No.1 negara, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing memahat kejayaan berharga apabila buat pertama kali meraih slot separuh akhir kejohanan Jelajah Dunia Akhir di Thailand pada Jumaat.

Mereka melakar kemenangan kedua selepas menundukkan pasangan Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran pada aksi terakhir Kumpulan B dalam aksi di Arena Nimibutr, Bangkok.

Iklan
Iklan

Pasangan negara yang menghuni ranking kelapan dunia mudah menewaskan gandingan tuan rumah 21-17, 22-20 dalam tempoh 41 minit permainan.

Sebelum itu pada aksi pembukaan kumpulan, pasangan negara mengejutkan juara Sukan Olimpik Tokyo 2020, Wang Yi Lyu-Huang Dongping dari China menerusi kemenangan 23-21, 14-21, 21-16.

Iklan

Kemaraan Kian Meng-Pei Jing turut dibantu dengan kemenangan Dechapol-Sapsiree atau lebih dikenali sebagai Bass-Popor ke atas Yi Lyu-Dong Ping 23-21, 21-13 dalam satu lagi aksi.

Kemenangan itu melonjakkan Dechapol-Sapsiree sebagai juara kumpulan, manakala Kian Meng-Pei Jing pula muncul di tempat kedua.

Iklan

Pada penampilan pertama pasangan negara di pentas itu tahun lalu, mereka menghuni kedudukan tercorot tanpa sebarang kemenangan.

Pada ketika itu, Kian Meng-Pei Jing diletakkan dalam Kumpulan A bersama Yuta Watanabe-Arisa Higashino (Jepun), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (Malaysia) dan Mathias Christiansen-Alexandra Boje (Denmark).