PEMAIN lincah, Faisal Halim menjadi duri dalam daging buat Kemboja apabila meledak dua gol ketika membantu Malaysia menang 4-0 pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.
Dia yang memakai lilitan kapten turut mencipta satu bantuan gol untuk skuad bimbingan Kim Pan-gon menang bergaya.
Menguasai babak pertama, skuad Harimau Malaya mengasak kubu lawan seusai wisel sepak mula ditiup pengadil.
Versatail dengan corak permainan menerusi serangan bertali arus dari sebelah kiri dan kanan padang membuahkan hasil buat skuad negara.
Faisal menemui sentuhan pertama pada minit ke-11 menerusi sepakan kencang dari luar kotak penalti.
Berselang 27 minit, Faisal menjadi watak penting untuk gol kedua negara apabila hantarannya disempurnakan dengan baik oleh Lee Tuck.
Ketika menuju masa penamat babak pertama, Faisal yang menerima hantaran daripada Darren Lok mudah merobek gawang Kemboja untuk gol ketiga buat negara.
Bersambung babak kedua, Malaysia membuat beberapa pertukaran pemain termasuk memasukkan pengantin baharu, Safawi Rasid yang memakai lilitan kapten menggantikan Faisal.
Percaturan disusun dengan baik menerusi beberapa percubaan rangkaian serangan negara, namun gagal menemui sasaran.
Meniti ke penghujung perlawanan, percubaan Safawi muntah daripada dakapan penjaga gol Kemboja.
Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya Stuart Wilkin untuk meledak gol keempat buat negara pada minit ke-86 dan keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan.