Tanah runtuh di Ampang: Penghuni dinasihatkan pindah

Iklan
Tanah runtuh jatuh mengenai dua buah rumah. - Foto JBPM Selangor
KUALA LUMPUR - Penghuni rumah yang berdekatan dengan lokasi runtuhan tanah di Taman Halaman, Ampang di sini dinasihatkan agar berpindah buat sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Langat, Dr Ani Ahmad berkata, arahan itu dikeluarkan susulan cuaca masih hujan malam ini dan keadaan cerun di belakang rumah penduduk terbabit yang dikhuatiri tahap kestabilannya.

"Setakat ini, penghuni di dua buah rumah yang terkesan telah bersetuju untuk berpindah keluar. Bagaimanapun, ada penghuni yang enggan berpindah keluar atas faktor-faktor tertentu selain memaklumkan rumah mereka mempunyai tembok penahan.

"Kami telah memaklumkan secara lisan kepada mereka sebarang risiko yang mungkin berlaku dan mereka bersetuju dengan tanggungan risiko tersebut. Kami juga telah menasihati mereka untuk ambil langkah berjaga-jaga misalnya untuk tidak tidur di bahagian belakang rumah," katanya kepada Bernama di lokasi kejadian malam Jumaat.

Beliau berkata, runtuhan di lokasi melibatkan tanah milik persendirian dengan cerun di bahagian belakang rumah mangsa juga termasuk dalam hartanah masing-masing.

"... esok (Sabtu) MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) akan bantu untuk tengok keadaan di atas (tebing) dan akan bantu kerja pembersihan tanah serta pemasangan kanvas. Pemilik rumah dinasihat melaksanakan kerja pengukuhan cerun tanah masing-masing,” katanya.

Ani berkata, pihaknya telah meminta agensi keselamatan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam untuk memantau keadaan di lokasi malam ini.

Sementara itu, Choong Zee Foon, 52, berkata, dia hanya menyedari kejadian tanah runtuh selepas dimaklumkan jirannya.

"Ini bukan pertama kali berlaku, ini kali kedua rumah saya terjejas. Sebelum ini pernah berlaku runtuhan pada Disember tahun lepas dan kerja-kerja pembaikan rumah masih belum buat,” katanya yang tidak tinggal di rumah itu.

Petang tadi, seorang wanita warga emas antara enam individu yang terselamat dalam insiden tanah runtuh berketinggian sembilan meter di taman itu.

Dalam kejadian itu, rumah mereka turut mengalami kerosakan. - Bernama