'Masih terkenang tragedi Ulu Legong'

Iklan
Jeton (dua dari kanan) ketika menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-4 Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia di Gombak, baru-baru ini.

GOMBAK -"Rasa sebak dan sedih apabila melihat tujuh jenazah rakan baik yang terkorban di medan perang selepas diserang hendap oleh pengganas komunis," luah veteran tentera Lans Koperal (B) Jeton Jamal Hashim.

Bekas komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berusia 64 tahun itu mengimbau kembali peristiwa berdarah di Ulu Legong, Kedah pada 29 Oktober 1981 apabila trak yang dinaiki sembilan anggota tentera diserang oleh pengganas komunis.

Iklan
Iklan

"Seramai tujuh anggota tentera telah terkorban antaranya Lans Koperal Hashim Sulaiman, anggota-anggota pangkat prebet iaitu Rosli Mat Nayan, Jamil Mahmud, Jamil Abd Hamid, Md Mendeka Ismail, Mazlim Wasal dan Mohd Khambali Mohd Sodeli.

"Tragedi serang hendap itu turut mengakibatkan dua lagi askar cedera iaitu Prebet Md Said Adam dan Md Shafei Kasim," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Gombak, Selangor, baru-baru ini.

Iklan
Jeton (tengah) berkhidmat dalam ATM selama 13 tahun.

Menceritakan tragedi berdarah itu, Jeton berkata, pada hari kejadian, sembilan rakannya dari pasukan 22 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sedang menjalankan tugas rutin mereka.

"Pasukan itu telah menaiki sebuah trak dari markas menuju ke Kampung Lalang kira-kira jam 9 pagi.

Iklan

"Mereka dalam perjalanan untuk mengambil bekalan makanan di kampung tersebut yang jaraknya kira-kira empat kilometer dari kem Ulu Legong," ujarnya.

Ketika di pertengahan jalan, trak yang dinaiki pasukan itu dibedil dengan pelancar roket anti kereta kebal dari arah kawasan bukit.

"Pasukan itu kemudiannya telah diserang hendap oleh lebih 30 pengganas komunis yang bersembunyi serta melepaskan tembakan ke arah trak dari atas bukit itu," katanya.

Komunis turun bukit

Menurut beliau, dua anggota tentera yang berada di dalam trak itu bagaimanapun terselamat dan sempat menyelamatkan diri.

"Askar komunis yang bersembunyi di atas bukit mula turun menuju ke arah mayat yang lengkap berpakaian celoreng, mayat itu kemudian diseksa," katanya.

Jeton memberitahu, setelah menerima maklumat, beliau bersama beberapa lagi rakannya yang berada di kem telah ditugaskan untuk membawa pulang jenazah askar yang terkorban itu.

"Saya telah mengangkat dan menguruskan jenazah anggota-anggota tentera itu secara berhati-hati kerana khuatir komunis memasang jerangkap samar.

"Saya turut mendapati berpuluh butir peluru terkena pada jenazah anggota tentera yang terkorban tersebut," ujarnya.

Beliau berkata, dua anggota tentera, Md Said dan Md Shafei telah ditemui dalam keadaan cedera parah.

"Mereka telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. Rakan saya Md Shafei telah meninggal dunia dalam kemalangan pada 2015," katanya.

Jeton berkata, tragedi serang hendap di Ulu Legong itu mungkin tidak popular seperti serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong.

"Tragedi serang hendap di Ulu Legong ini merupakan kisah penyeksaan komunis paling kejam terhadap askar kita setelah Malaysia mencapai kemerdekaan," ujarnya.

Jeton berpendapat, salah satu faktor yang menyebabkan Ulu Legong dipilih sebagai tempat persembunyian pengganas komunis pada ketika itu adalah kerana kawasan itu berbukit, selain bersempadan dengan Thailand.

"Ia memudahkan pergerakan komunis menyusup keluar atau masuk ke negara ini," katanya. Tragedi serang hendap di Ulu Legong ini merupakan kisah penyeksaan komunis paling kejam terhadap askar ATM setelah Malaysia mencapai kemerdekaan.''

Ikut jejak abang sulung

Jeton memberitahu, beliau mula berkhidmat dalam ATM pada 21 Mei 1979.

"Pada awalnya, keluarga tidak mengetahui saya masuk tentera, mereka kemudian telah menyedari saya terlibat dalam pasukan ATM selepas menjalani latihan selama enam bulan di Pusat Latihan Asas Tentera di Port Dickson, Negeri Sembilan," katanya.

Anak kelima daripada enam beradik itu menambah, beliau memilih kerjaya sebagai seorang askar kerana mahu mengikut jejak abang sulungnya, Allahyarham Abu yang turut menabur bakti dalam pasukan tersebut.

"Setelah tamat latihan, saya ditempatkan di pasukan 22 RAMD dan terlibat dalam pelbagai operasi di dalam hutan khususnya di sempadan Malaysia - Thailand.

"Saya juga pernah diserang hendap oleh askar komunis ketika melakukan rondaan di dalam hutan di sempadan negara, mujur saya dan rakan tidak tercedera dalam pertempuran itu," ujarnya.

Sertai pasukan komando

Jeton berkata, beliau kemudian memilih untuk terlibat dalam pasukan komando ATM selepas tragedi serang hendap di Ulu Legong.

"Saya telah menjalani latihan komando selama tiga bulan di Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak), Sungai Udang, Melaka," katanya.

Tambah beliau, kursus yang dipelajari di Pulpak itu melibatkan asas, peningkatan dan kepakaran.

"Latihan lasak, mencabar ketahanan mental dan fizikal merangkumi beberapa peringkat seperti kem, hutan, paya serta laut perlu dilalui oleh setiap pelatih.

"Lazimnya pada setiap kali pengambilan anggota komando tidak semua yang berjaya, mereka yang gagal untuk menamatkan latihan, kembali menjadi anggota tentera biasa," ujarnya.

Jeton berkata, Rejimen Gerak Khas Malaysia atau lebih dikenali sebagai pasukan komando, ditubuhkan dengan rasminya pada 1965.

"Penubuhannya bermula dengan pengambilan seramai 15 orang anggota untuk menjalani Kursus Dasar Komando pada akhir tahun 1964.

"Anggota yang terpilih telah menjalani latihan selama tiga bulan di bawah seliaan Pasukan British Royal Marine Commando bertempat di Burma Camp, Ulu Tiram, Johor," katanya.

Beliau berkata, seramai 12 orang anggota berjaya menamatkan latihan dan dianugerahkan dengan 'Beret Hijau'.

"Mereka merupakan kumpulan perintis kepada pasukan komando yang ditempatkan di Kem Majidee, Johor pada April 1965," katanya.

Pasukan Komando itu bersama-sama dengan lapan orang pegawai daripada Forty Royal Marine Commando, bertanggungjawab dalam mengendalikan latihan kepada pelatih-pelatih baharu untuk pasukan tersebut.

"Sejak penubuhannya, pasukan komando turut bersama-sama menyumbang kepada negara dalam memastikan kedaulatan, keamanan dan kemerdekaan negara terus dipelihara," katanya.

Bela nasib veteran tentera

Jeton yang berasal dari Tanjong Karang, Selangor berkata, beliau telah bersara awal setelah berkhidmat selama 13 tahun dalam pasukan ATM.

Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia mengambil berat keadaan waris veteran tentera.

"Sepanjang tempoh itu, saya telah menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM), saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula pemberian 'elaun kenangan' kepada veteran ATM yang menerima PJM.

"Saya juga berharap kerajaan membantu veteran ATM tidak berpencen kerana peningkatan kos sara hidup," ujarnya.

Bapa kepada enam orang anak itu berkata, tanpa pengorbanan dan perjuangan perajurit dahulu, tidak mungkin kita akan berada dalam keadaan selesa seperti hari ini.

"Generasi muda perlu menghargai keamanan kerana ia adalah hasil pengorbanan kami sebagai anggota pasukan keselamatan," katanya.