JOHOR BAHRU - Bangunan tambahan baharu Hospital Pakar KPJ Puteri bernilai RM120 juta dijangka mula beroperasi awal tahun depan.
Pengerusinya, Aminudin Dawam berkata, selain menjadi salah satu mercu tanda bangunan di daerah ini, bangunan baharu itu juga sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020.
"Projek pembinaan ini dijangka siap penghujung tahun bagi kerja-kerja dalaman dan akan dibuka awal tahun depan bertepatan dengan masa Johor sebagai tuan rumah Sukma 2020 nanti.
"Siapnya bangunan ini nanti, ia akan menjadi salah satu mercu tanda bangunan di Johor Bahru atau di jalan utama Jalan Tun Razak," katanya ketika berucap pada Majlis Peletakan Struktur Akhir Projek Bangunan KPJ Puteri, di sini, hari ini.
Bangunan setinggi sembilan tingkat itu dilengkapi dengan 100 katil tambahan dan 20 klinik doktor pakar tambahan menjadikan KPJ Puteri bakal memiliki 240 katil.
Katanya, projek pembinaan yang berdepan pelbagai cabaran termasuk terhenti akibat beberapa masalah setelah pembinaan bermula pada tahun 2014 akhirnya disambung pada akhir tahun 2017.
"Bagi pihak KPJ Puteri, saya memohon maaf semasa projek terhenti, pemandangannya kurang menyenangkan serta mengganggu keselesaan jiran sekeliling.
"Saya juga mohon maaf sekiranya selepas ini, tertakluk pada kelulusan pihak berkuasa serta keupayaan kontraktor, kami akan menjalankan projek ini pada waktu malam juga. Alhamdulillah kini struktur pembinaan sudah siap 98 peratus," katanya.
Beliau turut menekankan hasrat pihaknya untuk menjadi peneraju penyediaan perkhidmatan Pusat Neurologi dan Pusat Pediatrik serta mengungguli perkhidmatan Torasik dan pembedahan robotik.
"Doktor-doktor pakar baru yang akan diambil nanti bersesuaian dengan hasrat ini.
"KPJ Puteri turut merancang untuk menambah dua lagi dewan bedah bagi tujuan tersebut. Mungkin akan bina dewan bedah robotik pertama di Johor," katanya.
Beliau turut memaklumkan KPJ Batu Pahat yang merupakan hospital KPJ keenam di negeri ini dijangka memulakan operasi pada suku ketiga tahun ini.