'Kalah penalti amat menyakitkan' - Van Gaal

Iklan
Van Gaal

PENGENDALI Belanda, Louis van Gaal mengakui kekalahan dalam penentuan penalti kepada Argentina di pusingan suku akhir Piala Dunia Qatar 2022 pada Sabtu sebagai amat menyakitkan.

Pasukan kendaliannya terpaksa bangkit daripada ketinggalan menerusi dua gol daripada Wout Weghorst untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan selepas Argentina mendahului 2-0 hasil jaringan Nahuel Molina dan Lionel Messi.

Iklan
Iklan

Perlawanan terpaksa ditentukan melalui penentuan penalti, namun tendangan tonggak Belanda, Virgil van Dijk dan Steven Berghuis diselamatkan Emiliano Martinez untuk memastikan kemenangan Argentina 4-3 mara ke separuh akhir.

"Kami gagal menyempurnakan dua penalti awal dan ia menjadi sukar buat kami. Penalti ini adalah mengenai tuah dan loteri," katanya.

Iklan

Ia menjadi kegagalan kedua penalti buat jurulatih berusia 71 tahun sebagai pengendali Belanda yang sebelum ini juga tewas kepada Argentina di peringkat separuh akhir Piala Dunia 2014.

"Saya meminta pemain berlatih gigih dengan sepakan penalti, jadi saya tidak perlu mencela mereka. Untuk bangkit dan menyamakan kedudukan. Kalah menerusi sepakan penalti amat malang," katanya.

Iklan

Dalam pada itu, van Gaal turut mengesahkan akan melepaskan jawatannya itu susulan kegagalan Belanda mara ke peringkat seterusnya.

"Saya tidak akan meneruskan tugas sebagai ketua jurulatih untuk pasukan Belanda kerana saya hanya melakukannya untuk tempoh tertentu.

"Ini adalah perlawanan terakhir saya. Saya membawa Belanda dengan baik dan anda boleh Google pencapaian saya. Saya tidak fikir saya telah tewas teruk hari ini kerana hanya dengan penentuan penalti.

"Saya mempunyai masa yang indah dan adalah sangat menyakitkan untuk melihat bagaimana kami tersingkir terutama kerana saya melakukan segala-galanya untuk mengelakkan perkara ini daripada berlaku," katanya.