Kepimpinan Bersatu di Sabah umum keluar parti - Hajiji

Iklan
Hajiji

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Kepimpinan parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sabah mengumumkan keluar daripada parti itu pada Sabtu.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor selepas mengambil pertimbangan keadaan landskap politik negara ketika ini.

Iklan
Iklan

"Hari ini, kita sebulat suara telah mengambil keputusan untuk keluar dan meninggalkan Bersatu. Kami membuat keputusan ini setelah mempertimbangkan keadaan landskap politik Malaysia ketika ini terutama di Sabah.

"Kerajaan negeri yang ditunjangi oleh GRS-BN juga telah mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong bahawa pertimbangan terbaik untuk pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim satu daripadanya adalah untuk kestabilan politik dan pemulihan ekonomi," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, keputusan sebulat suara itu adalah demi kepentingan Sabah, perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.

"Ini kerana di peringkat Persekutuan, Bersatu adalah pembangkang manakala GRS telah berikrar menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Iklan

"Sabah mahukan kestabilan politik dan perpaduan. Kami mahu memastikan momentum dalam pertumbuhan dan pembangunan Sabah dan untuk melihat Sabah makmur sejajar dengan mandat yang diberikan kepada kami dalam pilihan raya lalu," katanya.

Susulan daripada itu, Hajiji berkata, sebuah parti tempatan baharu akan ditubuhkan, namun secara kolektif mereka adalah sebagai ahli GRS.

"Melangkah ke hadapan, kami akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu, namun untuk sementara ini kami secara kolektif akan menjadi ahli GRS.

"Dengan keputusan ini, kami akan menggunakan GRS untuk menyuarakan kepentingan Sabah dan negeri-negeri Borneo di Malaysia.

"Kami yakin keputusan ini adalah yang terbaik untuk perpaduan dan kestabilan politik di Sabah," katanya.

Hajiji dalam pada itu turut menyatakan ikrar bahawa mereka akan memberikan sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan dan yakin dengan kepimpinan serta kebijaksanaan Anwar untuk memimpin negara.

"Hala tuju Sabah Maju Jaya yang dilaksanakan juga adalah untuk memastikan pemulihan ekonomi Sabah dan perpaduan dalam kalangan rakyat berterusan.

"Adalah menjadi komitmen kami bersama Sarawak sebagai Blok Borneo untuk menyuarakan aspirasi rakyat dan untuk melihat Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63 akan dilaksanakan sepenuhnya," katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepimpinan beliau sepanjang tempoh sebagai ahli parti itu.